Monday, August 15, 2005

Bakat Mengarang

Bakat menulis adalah modal asas hidup sebagai penulis. Lebih besar bakatnya, lebih beruntung. Tetapi bakat besar tridak cukup. Bakat memerlukan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekalan, baru menghasilkan karya-karya yang mendatangkan royalti tinggi.


Bagaimanakah saudara dapat mengetahui apakah saudara mempunyai bakat menjadi penulis ataupun tidak?


Mula-mula saudara perlu tahu bahawa bakat menulis itu terdiri daripada banyak jenis-jenis bakat. Ambil sebagai contoh bakat menulis karya kreatif.

  1. Bakat menulis buku untuk bacaan kanak-kanak.

  1. Bakat menulis buku untuk remaja lelaki ataupun remaja perempuan.

  1. Bakat menulis novel bertaraf sastera.

  1. Bakat menulis cerita kelakar.

  1. Bakat menulis fiksyen sains.

  1. Bakat menulis novel sejarah.

  1. Bakat menulis cerita-cerita sedih.

  1. Bakat menulis cerita-cerita seram.

  1. Bakat menulis cerita-cerita romantik.

  1. Bakat menulis cerita-cerita perang.

  1. Bakat menulis cerita-cerita detektif.

  1. Bakat menulis cerita-cerita motivasi, cerita-cerita rakyat, cerita-cerita hantu, dan lain-lain.

Bakat adalah sesuatu yang diwarisi. Cuba saudara lihat, di kalangan keluarga dan sanak saudara, apakah bakat-bakat yang terdapat di kalangan mereka. Ada ataupun tidak individu-individu yang pandai mengarang ataupun bekerja dalam bidang yang memerlukan bakat bahasa.


Saudara juga boleh melihat ke belakang, dahulu semasa di sekolah, pernah ataupun tidak saudara memasuki sebarang pertandingan mengarang, ataupun menerima pujian daripada guru kerana karangan saudara baik. Jika pernah, itu tanda yang jelas saudara mempunyai bakat mengarang.