Monday, August 29, 2005

Penulis dan Glamor

Jikalau saudara penulis muda, lazimnya saudara menyimpan keinginan menjadi orang terkenal dan mempunyai peminat. Sesetengah bidang penulisan dapat menjadikan saudara terkenal, sebagai contoh jikalau saudara menulis novel ataupun puisi.

Saudara perlu memilih saudara mahukan keterkenalan yang bagaimana:

  1. Diri saudara yang menjadi terkenal: Dato' Dr. Mashitah Ibrahim dan Ustazah Bahiyah terkenal daripada sudut ini. Wajah mereka terkenal walaupun mereka tidak mempunyai buku. Mereka menjadi terkenal disebabkan mereka banyak muncul di televisyen. Hasilnya mereka menerima banyak undangan berceramah ke sana sini. Kelebihan keterkenalan jenis ini adalah saudara mendapat undangan berceramah yang banyak. Makin banyak saudara berceramah, makin saudara terkenal, makin banyak sumber pendapatan saudara. Kekurangannya adalah disebabkan saudara mencari rezeki dengan bercakap, saudara tidak boleh salah cakap walaupun satu ayat.

  2. Buku-buku saudara yang menjadi terkenal: Puan Ainon Mohd. terkenal daripada sudut ini. Beliau banyak menulis buku tetapi beliau tidak muncul di televisyen dan amat memilih-milih majlis di mana beliau ke depan dan bercakap. Hasilnya orang tidak kenal wajah beliau, mereka hanya kenal tajuk-tajuk buku beliau sahaja. Kelebihannya cara ini adalah, saudara mempunyai banyak masa bagi menulis banyak buku. Walaupun saudara tidak mendapat yuran berceramah, disebabkan buku saudara banyak, pendapatan saudara tetap banyak. Disebabkan saudara kurang bercakap, kekerapan berlakunya masalah tersilap cakap juga kurang, dibandingkan dengan mereka yang banyak bercakap.

  3. Diri dan buku-buku saudara sama-sama menjadi terkenal: Dato' Ismail Kamus, Dato' Dr. Fadhilah Kamsah, dan Dr. HM Tuah terkenal daripada sudut ini. Orang kenal wajah-wajah mereka dan orang kenal buku-buku mereka. Peminat mereka ramai, mereka membeli buku dan juga hadir ceramah. Tokoh-tokoh seperti mereka menerima pendapatan daripada royalti buku dan yuran ceramah.

Apabila saudara sudah memilih mahu menjadi orang terkenal, sebaik-baiknya saudara memiliki ijazah PhD. Khalayak Malaysia sekarang mementingkan PhD.