Friday, September 02, 2005

Mudahnya Menulis Cerita Misteri

Buku-buku cerita misteri, cerita-cerita alam ghaib dan cerita hantu mempunyai peminat-peminatnya sendiri. Semasa zaman kemuncaknya pada tahun-tahun 1990an, majalah MASTIKA dicetak 300 ribu naskhah disebabkan cerita-cerita misteri yang disiarkannya sangat diminanti ramai.

Yang paling gemar membaca majalah-majalah dan buku-buku cerita misteri adalah kaum wanita. Apabila penerbit Creative dan Alaf21 berjaya mengalihkan perhatian pembaca wanita daripada membaca cerita-cerita misteri kepada novel-novel yang mereka terbitkan, permintaan untuk bahan-bahan misteri mula berkurangan.

Sembilan puluh peratus cerita-cerita misteri yang diterbitkan dalam majalah dan buku-buku tempatan adalah direka-reka oleh penulis ataupun oleh staf editorial penerbit.

Seorang penasihat undang-undang libel (saman malu), dalam sebuah seminar yang diadakan di DBP suatu waktu dulu menceritakan bagaimana anak guamnya, sebuah penerbit, kalah dalam mahkamah apabila ia disaman oleh seorang yang namanya dikaitkan dalam majalah misteri itu dan diarahkan membayar gantirugi.

Wartawan majalah itu memang ada menginterviu plaintif tentang sebilah keris lama yang dimilikinya, tetapi apa yang ditulis dan disiarkan dalam majalah itu tidak benar. Dalam artikel itu dikatakan lebih kurang begini: Apabila malam bulan terang si plaintif kononnya bangun menari-nari manakala keris itu pun bergerak-gerak, dan lain-lain cerita pelik seperti itu, yang tidak benar belaka. Menurut plaintif, akibat cerita rekaan wartawan itu yang dikaitkan dengan namanya dia mendapat malu.

Jikalau cerita-cerita hantu itu tidak benar, mengapakah ada gambar individu yang mengaku bahawa cerita itu benar? Saudara jangan tidak tahu. Sesetengah gambar orang itu adalah gambar anak beranak si pengarang cerita hantu itu sendiri yang mukanya digelapkan!