Monday, November 21, 2005

Bagaimana Buku Saudara Dapat Diekspot

Apabila saudara menulis buku cerita, masukkan ke dalam angan-angan saudara bahawa buku saudara akan berjaya diekspot ke negara luar, sebagai contoh ke Indonesia, Thailand, Korea, Taiwan dan lain-lain.

Buku-buku cerita yang berjaya diekspot mempunyai ciri-ciri universal pada nama-nama watak, setting, tema, persoalan dan rupa wajah watak supaya dalam budaya apa sekalipun cerita itu diterjemahkan, cerita itu relevan.

Pada masa ini kita tahu ada dua buah penerbit buku-buku Melayu yang dimiliki oleh usahawan bukan Bumiputera amat aktif mengekspot buku-buku Melayu terbitan mereka. Yang satu mendapat antara RM300 hingga RM400 setahun hasil daripada penjualan lesen penerbitan buku-bukunya. Yang satu lagi antara RM200 ribu hingga RM300 ribu.

Kedua-dua penerbit itu setiap tahun ikut serta dalam pesta-pesta buku Jakarta, Bangkok, Tapei, Seoul, Saigon, Bombay dan lain-lain. Di situ mereka mempamerkan buku-buku Melayu yang mereka terbitkan dan berjaya menarik minat penerbit negara-negara itu bagi membeli lesen penerbitan.

Tema yang paling universal dalam dunia ini sudah tentulah Si Baik melawan Si Jahat! Jackei Chan adalah pelakon Cina paling berjaya di dunia. Filem-filem bikinan beliau diekspot ke seluruh dunia. Jackie Chan sudah berjaya mendapatkan formula filem yang berjaya diekspot.

Penerbit komik Jepun dan Cina juga sudah berjaya mendapatkan formula komik yang berjaya diekspot. Sebodoh-bodoh siri Doraemon juga amat berjaya diekspot. Saudara elok mencontohi formula kejayaan mereka. Nampaknya formula itu mudah sangat! Cipta satu watak baik, cipta ramai-ramai watak jahat, itu sahaja. Watak baik selalu terus dibeduk oleh si jahat tetapi akhirnya si baik survive.

Dalam seminar pemikiran Islam yang saya hadiri hari Sabtu lalu, saudara Wahab Hamzah melaporkan, penonton filem Hollywood suka filem-filem yang berakhir dengan 'happy ending'. Bukankah surah Yusuf berakhir dengan happy ending, di mana tidak seorang pun watak-watak jahatnya menerima balasan jahat?

Belum ada mana-mana pihak, apabila menganjurkan kursus penulisan, mereka memasukkan dalam kurikulum kursus, aspek mengarang cerita yang sesuai bagi pasaran ekspot. Ini bermakna, saudara sebagai penulis terpaksa belajar sendiri dengan mengkaji filem-filem dan buku-buku impot yang saudara sendiri suka tonton dan suka baca.