Sunday, January 08, 2006

Mencari Judul Evergreen

Apabila saudara mahu menikmati royalti yang berpanjangan daripada buku-buku yang saudara tulis, saudara perlu memilih kategori buku yang memiliki ciri-ciri evergreen.


Quran bukan buku paling tua dalam sejarah manusia. Ada pendapat mengatakan Bhagavadgita adalah buku paling tua. Banyak buku sudah ditulis lebih awal sebelum Quran. Tetapi Quran adalah buku paling evergreen dan paling popular.


Quran mula-mula 'dituliskan' lebih 1400 tahun dahulu, sewaktu Nabi Muhammad masih hidup oleh jurutulis-jurutulis rasmi beliau. Sampai hari ini buku itu masih dicetak, dijual, dibaca, dihafal dan dikaji, dalam edisi originalnya, tanpa pernah mengalami perubahan walaupun satu huruf.


Menurut Guniness Book of World Records, Quran adalah buku yang paling banyak dibaca orang di dunia, mengalahkan mana-mana edisi Bible yang ada.


Seorang pengedar Quran di Malaysia memberitahu, buku paling laku di negara ini adalah Quran. Di negeri Kelantan sahaja, sekitar 5000 naskhah terjual setiap tahun.


Fakta-fakta ini memberi petunjuk bahawa sebarang buku yang dikaitkan dengan isi kandungan Quran dan Nabi Muhammad, mempunyai peluang baik menjadi buku evergreen. Ini terbukti dengan usia evergreen pelbagai kitab yang dikarang oleh pengarang-pengarang terkenal seperti Syafie, Maliki, Hambali, Nawawi, Muslim, Bukhari, Tabari, Hisyam, sekadar menyebut segelintir nama. Sudah beratus-ratus tahun, namun buku-buku karangan mereka bukan semakin kurang dijual, malah semakin banyak terjual.


Sungguh luar biasa, buku-buku yang dikaitkan dengan isi Quran dan Nabi Muhammad, sekalipun yang ditulis oleh pengarang-pengarang bukan Islam, tetap menikmati jualan dan royalti berpanjangan!


Ada sebuah buku, judulnya “Islam For Idiots” (Islam untuk Si Dungu), buku seperti itu pun amat popular di Amerika. Buku “100 Most Influential Person” sudah hampir 40 tahun diterbitkan, sehingga hari ini ia masih terjual di seluruh dunia, dalam lebih 30 bahasa. Pengarang buku itu, seorang Yahudi, meletakkan Nabi Muhammad sebagai manusia paling berpengaruh di dunia, mengalahkan Jesus dan Einstein.


AKADEMI PENERBITAN PTS melatih pengarang-pengarang bukan ustaz dan ustazah teknik-teknik menulis buku-buku yang ada kaitan dengan isi Quran dan hadis bagi bacaan bukan orang agama, sebaliknya untuk pembaca yang sekadar ingin tahu hal-hal biasa berkenaan apa itu Islam.


Kita mangajak sesiapa sahaja hadir ke bengkel penulisan buku-buku berkenaan Islam yang akan diadakan pada 14 dan 15 Januari 2006. Gratis!