Friday, December 08, 2006

Surah Yusuf dan Warkah Cinta

Apakah hukumnya apabila novelis Muslim menulis kisah-kisah cinta yang di dalamnya diselitkan dengan warkah-warkah cinta dan puisi-puisi cinta?

Isu ini perlu dibincangkan oleh ulamak-ulamak sastera Islami. Kita, baik penerbit, editor mahupun penulis, semuanya memerlukan panduan piawai ISO bagi novel-novel cinta yang layak dikategorikan sebagai novel cinta yang HALAL dibaca.

Tema cinta dibenarkan dalam sastera Islami berdasarkan hujah nas bahawa cinta adalah salah satu tema dalam kisah Nabi Yusuf. Dalam kisah Nabi Yusuf, cinta itu adalah cinta seorang perempuan yang sudah menjadi isteri orang kepada lelaki lain.

Selain itu terdapat pula dalam al-Quran kisah cinta Nabi Adam kepada Hawa, begitu juga ada kisah cinta Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis. Juga cinta Nabi Ibrahim kepada Siti Hajar, isteri keduanya.

Isunya sekarang, teknik-teknik dan ayat-ayat yang bagaimana yang dibenarkan dalam novel cinta Islami, dan teknik-teknik serta ayat-ayat yang bagaimana yang tidak dibenarkan?

Dalam surah Yusuf, tidak ada surat cinta dituliskan oleh isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf. Dalam kisah cinta Nabi Adam, Nabi Sulaiman dan Nabi Ibrahim juga tidak disebutkan mereka menulis surat cinta. Adakah ini bermakna dalam novel cinta Islami pengarang tidak dibenarkan memasukkan warkah-warkah cinta?

Bagaimana pula isu menuliskan puisi-puisi cinta? Apakah ia dibenarkan ataupun tidak.

Ayat-ayat al-Quran adalah ayat-ayat yang mempunyai ciri-ciri puitis. Justeru, ayat-ayat yang diucapkan oleh isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf adalah ayat-ayat yang puitis sifatnya. Apakah ini bermakna puisi cinta dibenarkan diselitkan dalam novel cinta Islami?

.

1 Komen :

At 11:04 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Kenapa tidak? Dan kenapa mesti kita fokus hanya kepada kisah Yusuf padahal kisah cinta yang teragung (bagi saya) adalah penceritaan semula kisah cinta bersalut tragedi, Adam & Hawa. Lihat sahaja bagaimana syaitan menghasut mereka untuk menghampiri pohon larangan. Kedua-dua mereka pula memohon keampunan dari tuhan. Sesusah itu, mereka diampunkan dan diturunkan ke dunia, juga bersama-sama. Di alam yang fana ini, mereka meneruskan hidup sebagai khalifah dan terus-menerus mensyukuri nikmat cinta yang dikurniakan. Tidakkah itu romantis? Sesetengah orang Islam terlalu berfikiran kolot. ALLAH mengurniakan akal fikiran untuk kita gunakan. Jika segalanya hanya berpandukan pada kitab-kitab, tentulah ilmu itu tidak berkembang. Sedangkan beberapa kali telah ALLAH mengingatkan kita agar menggunakan akal untuk berfikir. Bodohnya kita.

 

Post a Comment

<< Home