Sunday, August 07, 2005

Bisnes Menjual Buku ke Sekolah

Ramai salesman syarikat-syarikat penerbitan berhenti kerja kerana hendak membuka perniagaan sendiri dengan menjadi agen kepada pengedar dan penerbit-penerbit buku bagi menjual buku-buku terus ke sekolah.


Sekolah mempunyai banyak wang yang diperuntukkan bagi membeli buku perpustakaan. Kementerian memperuntukan RM15 bagi setiap pelajar. Semakin besar jumlah murid di sekolah itu semakin besar jumlah wang yang diterima oleh sekolah daripada kementerian.


Selain daripada itu guru-guru kaunselor dan guru-guru pusat sumber diberi peruntukan khas masing-masing untuk membeli buku.


Kelebihan menjual buku ke sekolah adalah tidak ada masalah pelanggan lari tanpa membayar hutang. Saudara juga tidak perlu mempunyai kedai buku. Saudara hanya perlu mempunyai akaun dengan pengedar besar dan penerbit buku-buku sekolah.


Risiko berniaga dengan sekolah adalah amalan cara-cara sekolah membeli buku. Sekolah membuat semua pembelian daripada pembekal dengan menggunakan borang pesanan yang disebut LO (Local Order).


Katakanlah saudara berjaya mendapat pesanan LO daripada 20 buah sekolah untuk membeli buku-buku perpustakaan bernilai RM40 ribu. Saudara pun membuat pesanan kepada pengedar dan penerbit bagi mendapatkan buku-buku itu.


Saudara mempunyai kemudahan kredit 90 hari daripada pembekal dengan diskaun 30%. Ertinya saudara berpeluang membuat RM12 ribu dalam tempoh itu. Sekali fikir nampaknya perniagaan membekalkan buku-buku ke sekolah amat mudah dan sangat menguntungkan.


Di manakah risikonya?


Risikonya terletak pada tempoh kredit 90 hari daripada pengedar dan penerbit. Selepas 90 hari saudara mesti membayar hutang buku-buku yang saudara ambil daripada mereka. Jika saudara gagal membayar, saudara tidak dibenarkan mengambil lebih banyak buku untuk dihantar ke sekolah-sekolah lain yang sudah mengeluarkan LO pembelian buku dari saudara.


Barangkali saudara tidak tahu bahawa boleh dikatakan tidak ada sekolah yang dapat membayar LO dalam tempoh 90 hari. Banyak yang mengambil masa lebih 6 bulan baru dapat membayar LO mereka. Ada yang sampai berganti tahun lamanya.


Jangan ambil LO melebihi RM40 ribu. Lebih dari itu saudara akan tercekik oleh hutang kepada pengedar dan penerbit.


Inilah faktor yang menyebabkan pembekal-pembekal buku yang tidak mempunyai modal tunai besar tidak dapat bertahan menjadi pembekal sekolah. Mereka tidak mempunyai nafas yang cukup panjang sementara menunggu berbulan-bulan sekolah membayar LO. Jika sekolah belum dapat membayar saudara, saudara hendak makan apa? Inilah faktor yang mencipta fenomena “buku laku tetapi bisnes bankrap”.