Tuesday, August 02, 2005

Buku Persandingan Siti Nurhaliza

Sesetengah buku dapat dijual secara besar-besaran. Jualannya boleh melebihi 100 ribu naskhah! Bayangkan jikalau royaltinya RM1 senaskhah, berapa ratus ribu ringgit si penulis akan terima daripada penerbit?

Tetapi buku-buku seperti itu mempunyai hayat pasaran yang sangat pendek. Contoh buku jenis ini adalah buku yang mengandungi gambar-gambar perkahwinan tokoh-tokoh selebriti yang amat popular, umpamanya buku-buku dan majalah-majalah yang menyiarkan gambar-gambar perkahwinan Siti Nurhaliza satu hari nanti dijangka dapat dijual melebihi 200 ribu naskhah. Namun buku-buku seperti itu hanya laku paling lama dalam tempoh 3 bulan sahaja. Selepas itu permintaannya jatuh mendadak.

Buku-buku yang ditulis berkenaan isu-isu semasa juga termasuk dalam kategori yang serupa, umpamanya buku-buku politik semasa. Termasuk dalam kategori ini adalah buku-buku berkenaan tokoh politik yang masih berkuasa, apabila tokoh itu jatuh, maka jatuh jugalah jualan buku-buku mengenai dirinya.

Ramai guru berminat menulis buku-buku yang berkaitan dengan mata pelajaran sekolah disebabkan jumlah murid sekolah adalah amat besar. Tetapi disebabkan buku-buku seperti itu bergantung kepada kurikulum, apabila kurikulum berubah sedikit sahaja pun, hayat pasaran buku-buku itu mati serta-merta.

Saudara lebih baik menulis buku-buku yang hayat pasarannya 'evergreen'. Ia laku bertahun-tahun, malah berpuluh-puluh tahun. Saudara hanya penat menulis sekali, tetapi buku itu akan diulangcetak berkali-kali, dengan itu pendapatan royalti saudara tidak putus-putus.

Tulislah buku yang membolehkan saudara menerima royalti RM10 ribu setahun bagi satu judul. Jika saudara mempunyai 10 judul buku jenis evergreen, saudara boleh mengutip royalti RM100 ribu setahun. Ingat! Buku evergreen laku bertahun-tahun....