Monday, August 29, 2005

Hanya 16% Lulus M & S

Dahulu, majoriti pelajar miskin dan pelajar sekolah-sekolah luar bandar gagal dalam mata pelajaran bahasa Inggeris tetapi mereka lulus mata pelajaran matematik dan sains. Sekarang mereka gagal dalam ketiga-tiga mata pelajaran itu – bahasa Inggeris, sains dan matematik. Maklumat ini adalah berdasarkan hasil kajian suatu sumber yang dirahsiakan oleh pihak-pihak tertentu.

Pengurus besar sebuah rangkaian kedai buku yang terkenal di wilayah Pantai Timur melaporkan jualan buku-buku ulangkaji subjek matematik dan sains di kedai-kedainya jatuh dengan banyaknya semenjak ia diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

“Budak-budak macam hilang minat hendak belajar matematik dan sains. Tidak macam dulu,” kata beliau kepada pegawai PTS sambil menunjukkan longgokan buku-buku itu di dalam setor kedainya.

“Periksa tak lama lagi, buku masih tak laku,” katanya, sambil mengeluh.

Bahasa Inggeris tidak dapat memandaikan golongan miskin dan penduduk luar bandar. Semua negara yang menggunakan bahasa Inggeris, seperti India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina, Burma, Ghana, Namibia, Kenya, Uganda, Afrika Selatan dan lain-lain gagal memandaikan rakyatnya yang miskin dan tinggal di luar bandar.

Bahasa Inggeris hanya dapat memandaikan anak-anak golongan kaya di pusat-pusat bandar. Dengan bahasa Inggeris, yang kaya kekal kaya, yang miskin kekal miskin.

Selepas 200 tahun menggunakan bahasa Inggeris, laporan hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Bangsa-bangsa Bersatu adalah seperti berikut:

1. Separuh daripada semua kanak-kanak dunia yang kurang zat makanan berada di India.
2. Satu pertiga daripada penduduk dunia yang hidup di bawah paras kemiskinan berada di India.
3. Hanya 10% rakyat India menguasai bahasa Inggeris.
4. Hanya 5% kanak-kanak luar bandar di India tamat sekolah menengah.

Selepas 44 tahun kita mencontohi kejayaan Jerman, Perancis, Belanda, Itali, Portugal, Sweden, Denmark, Finland, Switzerland, Belgium, Austria, Jepun, Korea dan Taiwan, kini Malaysia memilih mencontohi India!