Tuesday, August 02, 2005

Penerbit Rompak Sekolah

Kalau saudara seorang guru sekolah rendah, saudara tentu kenal baik dengan wakil penjual buku-buku bacaan pengkayaan untuk perpustakaan sekolah.

Adakah saudara perasaan wakil-wakil penjual datang ke sekolah dengan membawa buku-buku yang dijual secara berset-set. Tiap-tiap set itu harganya tidak masuk akal apabila dibandingkan dengan harga buku yang sama tebalnya yang dapat dibeli di kedai-kedai buku. Inilah sebabnya buku-buku pengkayaan yang dijual terus ke sekolah-sekolah tidak dapat dibeli di kedai-kedai buku. Tidak ada kedai buku yang mahu mempamerkan set-set itu disebabkan tidak akan ada ibu bapa yang mahu membeli buku mutu rendah itu pada harga yang tidak masuk akal.

Sebagai contoh satu set buku cerita-cerita rakyat untuk bacaan pelajar tahun 3 dan 4 yang terdiri daripada 10 buku cerita setebal 48 halaman dijual dengan harga RM220. Kualiti bahasa dan ilustrasi buku-buku itu pula amat rendah. Pada harga pasaran nilai set itu adalah sekitar RM60 sahaja. Itupun sudah mahal.