Monday, August 22, 2005

Siapa Aina Emir?

Siapa kata lelaki tidak membaca novel cinta? Novel-novel cinta yang ditulis oleh lelaki banyak dibaca oleh lelaki, malah novel-novel itu dianggap bernilai sastera.

Novel-novel bertemakan cinta remaja seperti “Siti Nurbaya” oleh Marah Rusli, “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” dan “Di Bawah Lindungan Kaabah” karya Hamka, serta novel “Salah Asuhan” oleh Abdul Moeis, masih dibaca sehingga hari ini.

Tidak banyak pengarang novel cinta perempuan yang karyanya dibaca oleh ramai remaja lelaki. Salah seorang daripada mereka adalah Aina Emir.

Aina Emir adalah bekas pegawai kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Suaminya seorang konsultan dalam bidang kejuruteraan awam. Tiga orang anak-anak lelakinya juga dalam bidang kejuruteraan. Beliau pemegang ijazah sarjana dalam bidang pembangunan tenaga manusia (HRD).

Aina Emir adalah nama penanya bagi novel-novel cintanya yang diterbitkan dengan Alaf21. Beliau sudah menerbitkan 3 buah novel, setiap satu dicetak 60 ribu naskhah. Novel keempatnya sudah siap dan menunggu diterbitkan sahaja. Walau bagaimanapun beliau belum memutuskan siapa yang akan menerbitkannya.

Walaupun karya beliau dikategorikan sebagai novel cinta remaja, tetapi menurut beliau, novel-novelnya mempunyai dua ciri istimewa. Pertama beliau menggunakan setting dalam dan luar negara yang sebenar, iaitu tempat-tempat yang beliau pernah lawati di merata tempat di dunia. Kedua, beliau tidak menggambarkan watak-watak lelaki dengan gambaran negatif.

“Saya tidak menulis kerana desakan kewangan. Wang saya cukup,” katanya. “Saya menulis bagi menyampaikan nilai-nilai murni kepada pembaca saya.” Itulah Aina Emir.