Wednesday, January 25, 2006

Berita Baik untuk Peminat Novel Seram

Gosip-gosip dunia buku Melayu sekarang sedang rancak bercakap tentang sebuah penerbit korporat di negara kita yang dimiliki oleh negara jiran sedang merancang menerbitkan siri cerita-cerita khurafat.

Tema-tema tentang hantu-hantu Melayu seperti pontianak akan diterbitkan dalam bentuk novel. Begitu juga tema-tema amalan jampi, mentera, perdukunan, perbomohan, termasuk amalan pelbagai ilmu pengasih dan awet muda akan diperniagakan secara terancang.

Sekumpulan pengarang sedang sibuk menyiapkan manuskrip novel-novel ala-ala “Misteri Nusantara” itu atas permintaan penerbit tersebut.

Buku-buku novel seram itu ditargetkan kepada pembaca wanita kerana memang kaum wanita Melayu meminati cerita-cerita hantu. Para peminat siri “Bercakap dengan Jin” adalah target utama penerbit ini.

Alaf21, Creative, Rythm, Utusan, Media Intens, KaryaDia, Kakinovel, NB Kara, Buku Prima, ambil perhatian. Dalam masa sebulan dua ini, akan muncul novel-novel seram yang bakal menjadi pesaing kepada novel-novel cinta.

Dalam waktu semakin banyak penerbit milik orang tempatan berpusu-pusu masuk padang produk perempuan dengan menawarkan sekitar 20 judul novel cinta tiap-tiap bulan, diam-diam pelabur asing masuk padang yang sama dengan menawarkan produk yang sudah lama ditunggu-tunggu.