Tuesday, February 21, 2006

Bagaimana Penerbit Baru Merosakkan Pasaran

Adakah saudara hendak belajar menjadi penerbit novel cinta Melayu?

Jika ya, itu bermakna saudara menjadi apa yang diistilahkan penerbit bebas (independent publisher), yakni penerbit yang tidak dimiliki oleh syarikat induk korporat besar.

Sepanjang sejarah penerbitan novel-novel Melayu, kita hanya dapat menyebut 3 penerbit yang berjaya dalam bidang ini: DBP, Creative dan Alaf21.

DBP 'berjaya' disebabkan ia jabatan kerajaan. Tetapi bagaimanakah Creative dan Alaf21 berjaya? Adakah sesuatu yang dapat kita pelajari dan jadikan contoh disebabkan kedua-duanya telah berjaya membuktikan novel Melayu laku dijual.

Selepas Creative berjaya membuka pasaran novel Melayu, barulah Alaf21 masuk. Kemudian penerbit besar lain ikut masuk, iaitu Utusan, Rythm dan Times. Daripada nama-nama itu, hanya Creative sahaja merupakan penerbit independent. Yang lain adalah anak-anak syarikat milik penuh syarikat induk.

Creative dan Alaf21 berjaya di mana DBP gagal. Kedua-duanya berjaya membuka pasaran baru dengan cara memfokuskan produk mereka secara bertubi-tubi dan konsisten selama bertahun-tahun.

Creative menumpukan penerbitannya pada kategori sastera popular, manakala Alaf21 menumpukan pada kategori novel cinta remaja. Jelaslah, walaupun Creative dan Alaf21 sama-sama menerbitkan novel, tetapi sebenarnya Creative dan Alaf21 tidak bersaing kerana masing-masing menjual produk yang berbeza kepada sektor pembaca yang berbeza.

Dengan fokus serta ketekunan yang mereka amalkan, akhirnya Creative dan Alaf21 berjaya menjadi 'market leader' bagi sektor masing-masing. Begitu kukuh dan kuatnya kedudukan kedua-dua penerbit itu sehingga mereka dapat memaksa para pengedar dan peruncit membeli tunai novel-novel mereka!

Utusan, Rythm dan Times cuba masuk ke dalam pasaran di mana Creative dan Alaf21 sudah menjadi market leader-nya. Mereka tidak masuk dengan menawarkan konsep produk baru. Mereka hanya menjadi 'me-too player'. Terbukti, selepas hampir 10 tahun, mereka tidak dapat mengatasi kejayaan Creative dan Alaf21.

Sebagai pemain ikut-ikutan, para pembaca novel cinta Melayu mempunyai persepsi bahawa Utusan, Rythm dan Times hanya dapat menerbitkan novel-novel cinta yang sudah ditolak oleh Creative dan Alaf21. Inilah cabaran utama bagi Utusan, Ryhtm dan Times, yakni bagaimana mereka mahu membuang persepsi negatif itu daripada minda pasaran.

Bagaimana pula dengan KakiNovel, KarnaDya, Media Intens dan NB Kara yang masing-masing dimiliki oleh bekas-bekas orang Creative dan Alaf21? Apakah cabaran utama mereka?

Cabaran utama mereka adalah isu-isu rutin apabila memulakan bisnes baru sebagai penerbit independent dalam sektor yang sudah ada pemimpin pasarannya, iaitu sektor novel cinta. Sebagaimana yang dilakukan oleh Utusan, Rythm dan Times, empat nama baru itu mengambil posisi sebagai pemain me-too, tanpa menawarkan konsep produk baru.

Selagi Norhayati Berahim, Fauziah Ashari dan Aina Emir hanya menerbitkan karya mereka sendiri, cabarannya tidak besar. Mereka tidak perlu mengambil kira jumlah royalti mahupun jadual pembayaran royalti yang mereka bayar kepada diri mereka sendiri. Tetapi apabila mereka mula menerbitkan karya pengarang-pengarang lain, economics-nya sangat berbeza.

Cabaran kedua yang besar adalah harga jualan novel cinta yang sudah bertahun-tahun dimapankan oleh Creative dan Alaf21. Pembeli novel-novel cinta Alaf21 sudah terbiasa membeli novel Alaf21 pada harga yang 'amat murah'.

Alaf21 dapat menjual novel setebal 600 halaman pada harga RM16! Ini dapat dilakukan kerana Alaf21 adalah anak syarikat Kumpulan Karangkraf, yang merupakan pencetak terbesar Bumiputera di negara ini! Dengan mencetak sendiri novel-novel terbitannya, Alaf21 dapat mengawal kos percetakan dengan efektif sekali.

Mana-mana penerbit yang tidak memiliki percetakannya sendiri tidak dapat menjual novel-novel cintanya pada harga Alaf21. Bagaimanakah KakiNovel, NB Kara, Media Intens dan KarnaDya dapat mengatasi isu harga jualan novel-novel mereka, apabila pada waktu yang sama mereka juga perlu membayar royalti kepada penulis, ini persoalan yang akan menentukan kejayaan mereka bersaing dengan Alaf21.

Apakah pula cabaran yang dihadapi oleh Alaf21?

Jika Alaf21 hanya bersaing dengan 2 ataupun 3 penerbit ikut-ikutan, Alaf21 dapat kekal menang. Tetapi jika dalam pasaran sudah ada 10 ataupun 12 penerbit ikut-ikutan, cabaran bagi Alaf21 untuk mengekalkan prestasinya sekarang tidaklah mudah lagi.

Satu orang kuat bertumbuk melawan 3 orang lemah, ya, masih ok. Tetapi kalau sudah melawan 12 orang lemah, belum tentu ok. Ini logik angka semata-mata.

Tidak mustahil 12 belas penerbit novel cinta independent dapat merosakkan pasaran novel cinta yang sekarang masih didominasi oleh Alaf21. Inikah yang tersirat apabila En. Norden Mohamed, Pengurus Besar Alaf21, mengatakan suatu masa lalu bahawa pada saat ini novel cinta sudah 'lost it's magic'?



.

2 Komen :

At 8:17 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Adinda Rostam Effendi, ini Universiti Terbuka! Ilmu disebarkan gratis!

 
At 8:17 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

This comment has been removed by a blog administrator.

 

Post a Comment

<< Home