Sunday, February 05, 2006

Minda Pelukis Komik, Kartun dan Karikatur

Sebagai orang luar dunia komik, kartun dan karikatur, kita cuba memahami minda dan cara fikir kelompok seniman ini, dan mencari jawapan kepada persoalan mengapakah mereka menjadi golongan yang paling tidak ambil pusing tentang harta intelek karya-karya mereka.

Seorang tokoh ilustrasi buku kanak-kanak yang bekerja dengan organisasi kerajaan (kita sebut sahaja nama glamornya sebagai 'SNN') memberitahu, para pelukis komik, kartun dan karikatur tidak pedulikan isu harta intelek disebabkan beberapa faktor.

Faktor paling utama adalah pengalaman-pengalaman pahit ditipu (istilah yang digunakan oleh SNN itu, minta maaf banyak-banyak..... 'dikencingi') oleh pelbagai pihak, sehingga fenomena kena tipu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka. Pihak yang paling banyak menipu mereka adalah orang-orang dalam industri penerbitan buku dan majalah.

Kita terkejut mendengar istilah 'di......i' itu. Amat terkejut! Memang semua golongan seniman yang berurusan dengan orang bisnes pernah ditipu, dan mereka tidak keberatan bercerita tentang pengalaman bagaimana mereka itu ditipu. Tetapi hanya golongan seniman komik, kartun dan karikatur sahaja yang melihat diri mereka sebagai golongan yang 'di.......i'.

Menurut tokoh SNN, disebabkan mereka sudah banyak kali ditipu, dan tidak mahu ditipu lagi, maka mereka pun mengambil sikap lebih baik menjual hakcipta mereka dan ambil duitnya segera, daripada tidak mendapat apa-apa bayaran langsung. Walaupun bayarannya kecil dan hanya sekali, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat duit itu, daripada mengharapkan royalti yang besar tetapi akhirnya tidak mendapat apa-apa langsung.

Mentaliti hendakkan duit cepat ini juga didorong oleh keperluan hidup hari demi hari. Tekanan wang bagi memenuhi keperluan harian menyebabkan mereka tidak mempunyai mentaliti pelabur. Mereka tidak mampu menunggu lama sebelum menerima bayaran royalti. Sebagaimana yang dikatakan oleh tokoh SNN, golongan ini 'hidup macam ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Seorang pengamat lain memberitahu, disebabkan seniman golongan pelukis komik, kartun dan karikatur ini rata-rata tidak memiliki kelulusan akademik yang tinggi, makanya mereka tidak mempunyai cara fikir yang berorientasikan jangkamasa panjang. Kita mohon berbeza pendapat dalam isu ini.

Lat hanya lulus gred 3 sekolah menengah, tetapi beliau mempunyai kesedaran yang sangat tinggi tentang harta intelek, justeru beliau berupaya menjadikan bakatnya itu gua harta karun. Seperti kata Sdr. Kalamtimur dalam blognya, kalau mahu dinilai stroke Lat, ramai stroke pelukis muda yang jauh lebih baik.

Seorang lagi pengamat mengatakan majoriti pelukis komik, kartun dan karikatur adalah golongan muda, oleh yang demikian sebagai orang muda cara fikir dan mentaliti mereka tidak berminat dengan isu-isu hakcipta dan harta intelek. Fokus mereka adalah karya mereka terbit.

Kita boleh mencari berbagai-bagai alasan bagi cuba menerangkan mengapa kaum seniman yang pintar-pintar itu mengalami nasib 'dik.........i' penerbit. Semua penerangan itu tidak dapat mengubah keadaan para seniman itu, melainkan kita dapat perlahan-lahan mengajak mereka supaya mahu menukar cara fikir mereka sekarang.

Kita yakin apabila para pelukis komik, kartun dan karikatur faham apa yang dikatakan hakcipta dan harta intelektual, cara fikir mereka akan berubah. Jadi Akademi Penerbitan PTS sedang merancang suatu majlis taklimat tentang harta intelek dan hakcipta yang akan disampaikan oleh peguam paling TOP di Kuala Lumpur dalam bidang ini. Tunggu sahaja pengumumannya.

Nota kaki: Kepada Sdr. Oraet, Jonos, Alif, Naga, Maaniq, ajaklah rakan-rakan saudara supaya hadir bengkel nanti.




2 Komen :

At 2:44 PM, Blogger Panaharjuna Berkata ...

Cargas !!!!!

 
At 6:37 PM, Blogger sinaganaga Berkata ...

Puan,
Puan salah eja. Lagi. 'Dikencingi'! Bukan 'dikecingi'.

Ha ha.

 

Post a Comment

<< Home