Sunday, March 19, 2006

Buku dan Kategori Buku

Adakah saudara penulis ataupun penerbit baru? Jika ya, barangkali saudara perlu lebih banyak maklumat bagi memahami beberapa isu yang menjadi hambatan kepada para penulis dan penerbit buku di negara kita.


Salah satu isu itu adalah jenis-jenis kategori buku yang ada dalam minda pihak pengurusan kedai-kedai buku. Susun atur buku-buku dalam kedai buku adalah berdasarkan jenis-jenis kategori buku. Jadi, buku-buku agama ada rak sendiri, buku-buku hobi ada rak sendiri, buku-buku ulang kaji peperiksaan ada rak sendiri.


Katakanlah saudara hendak menerbitkan sebuah buku fiksyen sejarah yang bertajuk “Fatamorgana Si Kitol” ditulis oleh seorang yang bernama Rohaina Raimi, yakni bukan penulis terkenal. Kandungan buku itu menarik dan saudara yakin ia dapat dijual di kedai buku.


Apakah faktor-faktor yang mungkin menggagalkan buku seperti itu dalam pasaran?


Disebabkan buku-buku fiksyen sejarah hampir tidak ada di kedai-kedai buku, petugas yang bertanggungjawab menyusun buku-buku di rak-rak kedai buku itu pun tidak tahu di rak mana buku “Fatamorgana Si Kitol” hendak diletakkannya – di rak novel bersama-sama dengan novel cinta tidak sesuai, di rak buku cerita kanak-kanak tidak sesuai, di rak Malaysiana tidak sesuai, di rak buku agama tidak sesuai....


Isu kategori buku adalah isu penting. Apabila saudara menerbitkan buku yang belum ada kategorinya di kedai buku, akibatnya buku saudara terkonteng-konteng sendirian, terselit-selit antara buku-buku lain yang juga tidak ada kategorinya.


Sebagai penerbit baru, banyak yang kita dapat pelajari daripada Creative dan Alaf21. Creative berjaya mencipta kategori “sastera popular” manakala Alaf21 berjaya mencipta kategori “novel cinta remaja”. Sebelum itu tidak ada rak-rak yang dikhaskan bagi kategori buku sastera pop dan novel cinta remaja.


Sekarang, penerbit-penerbit lain dengan mudah dapat menumpang hasil usaha Creative dan Alaf21 itu. Apabila NB Kara, KakiNovel, KarnaDia, Media Intens, Utusan, Rythm, Times dan lain-lain menerbitan novel, petugas kedai buku dapat terus meletakkan novel-novel itu di rak di mana novel-novel Creative dan Alaf21 diletakkan.


Creative dan Alaf21 berjaya mencipta kategori khas bagi produk mereka dengan cara menerbitkan berpuluh-puluh produk dalam kategori itu. Jumlah yang begitu banyak mendorong pengurusan kedai-kedai buku terpaksa memberikan rak-rak khas bagi novel-novel terbitan mereka.


Apabila produk Creative dan Alaf21 diberi rak-rak khas, hal itu memberikan kesan positif kepada pengunjung kedai-kedai buku yang terpandang pada barisan novel-novel itu, sehingga turut terciptalah kategori 'sastera popular' dan 'novel cinta remaja' dalam minda para pengunjung kedai. Dengan itu barulah produk-produk Creative dan Alaf21 meninggalkan kesan mendalam pada peminat-peminatnya.


Nah! Sekarang kita kembali kepada isu novel fiksyen sejarah. Sebuah buku fiksyen sejarah tidak dapat mencipta kategori khusus bagi dirinya. Kedai-kedai buku tidak akan memperuntukkan rak khusus bagi kategori 'fiksyen sejarah' disebabkan ada sebuah buku baru terbit yang berjudul “Fatamorgana Si Kitol”.


Bak kata pepatah Tamil, “Satu batang pokok getah takkan menjadi sebuah estet.”