Wednesday, October 18, 2006

Dasar Bahasa PTS

Kita menerima banyak pertanyaan mengapa PTS fokus menerbitkan buku-buku dalam Bahasa Melayu sahaja, mengapa tidak menerbitkan buku-buku dalam bahasa-bahasa lain, khususnya Inggeris.

Dasar bahasa PTS adalah disandarkan kepada Quran adan Sunnah, seperti berikut:

(a) Surah Ibrahim, ayat 4, yang bermaksud: "Allah tidak menghantar rasul kepada sesuatu kaum melainkan dalam 'lidah' kaum itu." Prinsip strategis dalam ayat ini adalah, bagi membangunkan sesuatu bangsa, gunakan bahasa ibunda kaum itu.

(b) Empat buah kitab suci Islam diturunkan dalam 4 bahasa ibunda masing-masing nabi yang menerimanya. Hanya Quran turun dalam bahasa Arab disebabkan itulah bahasa ibunda Nabi Muhammad.

(c) Jibrail menyampaikan wahyu, mengajar dan berkomunikasi dengan Nabi Muhammad menggunakan bahasa ibunda Nabi Muhammad, yakni bahasa Arab.

(d) Hadith yang bermaksud: "Berbahasalah kamu dalam bahasa kaummu."

(e) Nabi Muhammad menyuruh Zaid bin Thabit belajar bahasa Hebrew disebabkan baginda hendak menulis surat kepada ketua-ketua kaum Yahudi bagi tujuan diplomatik, yakni mengajak mereka masuk Islam. Sunnah ini menyatakan dengan jelas peranan bahasa-bahasa asing dalam strategi Islam, yakni diplomatik dan komunikasi antara kaum. Justeru, pendakwah Islam dikehendaki belajar bahasa ibunda kaum sasaran bagi menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

(f) Nabi Muhammad bersaing, berperang, dan berjaya mengalahkan 2 buah kuasa dunia sezamannya, iaitu empayar Parsi dan Romawi, dengan tidak belajar sepatah pun bahasa-bahasa musuhnya, yakni bahasa Farsi dan Latin. Akan perihal besarnya kuasa Romawi sebagai kuasa dunia, sehinggakan dalam Quran ada surah khas mengenai bangsa itu, yakni surah Ar-Ruum.

(g) Sebagai seorang Arab, apabila Nabi Muhammad mengajar dan menyampaikan kuliah kepada orang-orang Arab, baginda menggunakan bahasa Arab. Ibrah daripada sunah ini adalah, guru-guru dan pensyarah Melayu yang mengajar pelajar Melayu hendaklah menggunakan bahasa Melayu.

Berdasarkan nas-nas di atas, dan disebabkan prioriti pertama misi PTS adalah memandaikan bangsa Melayu, maka PTS memilih menggunakan Bahasa Melayu.

"Hidup Bahasa Melayu"

.

5 Komen :

At 8:55 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

"Bagi masyarakat terbanyak (termasuklah kalangan yang mahu "menghidupkan" bahasa Melayu - tambahan saya sendiri), bahasa hanya suatu alat komunikasi, dan yang penting bagi mereka ialah asalkan orang paham akan bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi. Jika ada antara ahli-ahli bahasa (dan yang lain-lain yang mendakwa cinta akan bahasa - tambahan saya sendiri lagi) yang berpendapat bahawa jumlah yang terbanyak dapat dijadikan ikutan, maka tidakkah ahli bahasa itu seperti tukang pancing yang dilarikan?
Bahasa jiwa bangsa. Pupus bahasa pupuslah bangsa!" Arwah Pak Asraf

 
At 8:57 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

...seperti tukang pancing yang dilarikan ikan? Tertinggal 'ikan'nya. Maaf.

 
At 10:16 AM, Blogger Abang Long Berkata ...

"Setiap BANGSA yang berjaya membangunkan negara hingga menjadi NEGARA MAJU diserata dunia adalah bangsa yang menggunakan BAHASA IBUNDA masing - masing, TERKECUALI - MALAYSIA, kerana kita menggunakan BAHASA - I.N.G.G.E.R.I.S untuk maju" ... pelik tapi benar, ya, ME-LAYU MUDAH LUPA.....

 
At 10:32 AM, Blogger Unknown Berkata ...

Puan Ainon,

Saya sedang membaca buku tentang Falsafah Pendidikan menurut Prof Syed Naquib Al-Attas.

Prof Naquib kuat berpendapat yang Bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahsaa utam dalam pendidikan.

 
At 11:21 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Benar tu, Saudara. Dan pendapat Prof. Naquib itu disuarakan lama dulu. Beliaulah yang membawa Pak Asraf ke UKM untuk mengajarkan Tatabahasa Melayu kepada graduan di sana sekitar tahun 1971 hingga 1976.

 

Post a Comment

<< Home