Tuesday, October 10, 2006

Ketampanan dan Kejelitaan osial Pengarang

Seseorang itu memiliki dua jenis ketampanan / kejelitaan: (a) ketampanan fizikal seperti wajah yang tampan, dada yang bidang ataupun misai yang lebat dll aspek fizikal. (b) ketampanan sosial, yakni keelokan peribadi seseorang itu sebagaimana yang dinilai oleh orang lain.

Faktor-faktor yang mencipta ketampanan / kejelitaan sosial adalah:

a. Akhlak: Orang yang akhlaknya terpuji dilihat lebih tampan daripada dirinya yang sebenar. Sebagai contoh, penyanyi yang pandai mengaji Quran dilihat lebih tampan daripada dirinya yang sebenar.

b. Pendidikan: Antara seorang yang berkelulusan ijazah dan yang berkelulusan SPM, walaupun serupa wajahnya, si pemegang ijazah dipandang lebih tampan ataupun jelita.

c. Keturunan: Seorang 'tengku' dan seorang 'bukan tengku' yang serupa rupa wajahnya, si tengku dipandang lebih jelita.

d. Kedudukan sosial: Antara seorang CEO dan seorang kerani yang serupa rupa wajahnya, si CEO dipandang lebih tampan.

e. Pasangan hidup: Antara bisnesman yang kahwin doktor pakar dengan bisnesman yang kahwin artis, walaupun rupa paras kedua-duanya serupa, tetapi bisnesman yang kahwin doktor pakar dipandang lebih tampan.

f. Bidang kerjaya: Antara doktor dan akauntan yang serupa rupa wajahnya, si doktor dipandang lebih tampan.

g. Aktiviti sosial: Antara dua orang isteri menteri, yang satu suka menaungi aktiviti golongan kurang upaya, manakala yang satu lagi suka menaungi promosi fesyen, yang menaungi aktiviti golongan kurang upaya dipandang lebih cantik dan baik.

h. Perkahwinan: Bagi sesetengah jawatan, seperti kaunselor, kedudukan sebagai bujang, berkahwin, berpoligami ataupun bercerai dapat mempengaruhi ketampanan / kejelitaan sosial pemegang jawatan itu.

i. Persahabatan: Seseorang yang mempunyai ramai sahabat yang terdiri daripada individu-individu penting dalam masyarakat dilihat lebih tampan daripada mereka yang tidak.

j. Pertubuhan: Jenis pertubuhan yang dianggotai juga dapat meningkatkan ataupun menjatuhkan ketampanan sosial seseorang. Seorang ulamak muda yang tiba-tiba menjadi anggota sebuah parti politik sekular tidak akan dilihat tampan lagi, sebagaimana sebelumnya.

Dalam industri hiburan, peranan ketampanan fizikal sangat mempengaruhi jualan tiket filem, tiket konsert, kaset dan CD seseorang artis. Bagi artis perempuan, kejelitaan fizikal memainkan peranan yang lebih besar, ia dapat mengalahkan peranan bakat. Manakala peranan itu kurang bagi artis lelaki. Artis lelaki yang sudah tua dan tidak setampan model iklan sekalipun, apabila bakatnya besar, dapat kekal popular.

Namun begitu pengaruh ketampanan sosial juga memainkan peranannya ke atas artis perempuan. Perkahwinan seorang bekas penyanyi paling kaya dengan seorang duda yang latar belakangnya penuh kontroversi telah mencacatkan kejelitaan sosial penyanyi itu, yang sebelum itu amat tinggi, sehinggakan beliau kalah teruk dalam pemilihan penyanyi popular yang dianjurkan sebulan selepas perkahwinannya.

Bagaimana pula dengan jualan buku - apakah faktor ketampanan fizikal dan ketampanan sosial memainkan peranannya? YA dan TIDAK.

Dato' Dr. Fadhillah Kamsah memiliki ketampanan fizikal yang biasa-biasa sahaja, tetapi ketampanan sosial beliau adalah lebih tinggi daripada ketampanan fizikalnya.

Jika saudara menulis buku-buku motivasi dan pembangunan diri, dan saudara juga mempunyai rancangan hendak menjadi penceramah, maka ketampanan sosial saudara mempunyai pengaruh kuat ke atas jualan buku-buku saudara dan ke atas jumlah kehadiran pada ceramah-ceramah saudara.

Oleh itu, sebagai penceramah, elakkan daripada melakukan perbuatan yang mencacatkan ketampanan sosial saudara, seperti bergaduh dengan jiran sampai masuk surat khabar!

.

1 Komen :

At 5:46 PM, Blogger Zamri Mohamad Berkata ...

seperti bergaduh dengan jiran sampai masuk surat khabar!

Macam pernah dengar sahaja kisah ini hehehe

 

Post a Comment

<< Home