Friday, November 24, 2006

Mengapa Buku DBP Tiada di Kedai

Di bawah perjanjian penswastaan DBP, DBP adalah penerbit, manakala DAWAMA adalah pengedar dan pencetak tunggal bagi DBP.Dari sudut prinsip bisnes, apabila buku-buku DBP tidak ada di kedai, itu bukan salah DBP, tetapi salah DAWAMA.

Namun DBP tetap ada salahnya. Meskipun DBP sudah lama tahu buku-buku terbitannya tidak ada dalam kedai-kedai utama, DBP tidak mengambil tindakan disiplin ke atas DAWAMA. Ini adalah situasi yang luar biasa.

Tidak ada salahnya DBP melantik SATU pengedar tunggal bagi pasaran dalam dan luar negara. Yang salahnya adalah DBP tidak memonitor prestasi pengedar tunggalnya.

Bisik-bisik yang kita dengar mengatakan pegawai tinggi DBP yang bertanggungjawab memonitor DAWAMA tidak pernah walau satu kali pun turun padang dan pergi menjalankan spot-check di kedai-kedai bagi menyiasat sejauh mana kedai-kedai itu berpuas hati dengan servis khidmat pelanggan DAWAMA.

Dalam amalan bisnes yang baik, penerbit akan segera mengambil tindakan disiplin ke atas pengedar tunggalnya apabila didapati prestasi pengedar itu tidak mencapai target yang diberikan.

Pengurus Besar Jualan sebuah rangakaian kedai buku utama menyatakan rungutannya kepada kita tentang bagaimana susahnya dia hendak mendapatkan buku-buku DBP daripada DAWAMA.

Berkali-kali permintaan dengan menggunakan telefon supaya DAWAMA menghantar buku-buku DBP ke rangakaian kedainya di seluruh negara tidak menghasilkan respons daripada pegawai DAWAMA yang bercakap.

“Dalam satu tahun tidak sekali salesman DAWAMA datang!” kata Pengurus Besar itu.

“Banyak pelanggan datang bertanyakan buku-buku DBP,” katanya lagi. “Kita sudah beritahu DAWAMA, kalau DAWAMA tidak mahu hantar buku, apa kami mahu buat?”

Situasi begini tambah meyakinkan orang ramai bahawa DAWAMA memang tidak berminat mengedarkan buku-buku DBP, sebaliknya hanya berminat mengaut keuntungan besar daripada projek buku-buku teks yang diberikan oleh Kementerian kepada DBP.

Dalam dunia bisnes, memang luar biasa apabila ada kedai buku meminta bekalan buku tetapi pengedar buat pekak!

Keadaan begini hanya berlaku dalam budaya bisnes jabatan kerajaan sedangkan DAWAMA adalah sebuah syarikat swasta.

Memang keuntungan daripada projek buku teks itu sudah cukup besar bagi DAWAMA, sedangkan kerja mengedar dan menjual buku ke kedai-kedai adalah kerja berat dan remeh.

Bagi mengedarkan buku teks, salesman DAWAMA tidak perlu bangun daripada kerusi empuknya, tidak macam kerja mengedarkan buku dari satu pintu kedai ke satu pintu kedai.

Tempoh konsesi buku-buku teks itu adalah selama 12 tahun, baki yang ada tinggal 8 tahun. Gosip pasaran mengatakan DAWAMA sibuk berhempas-pulas meminta supaya konsesi itu dipanjangkan sampai 20 tahun.

Jikalau DAWAMA berjaya mendapat pelanjutan konsesi itu selama 20 tahun lagi, maka buat 20 tahun tahun lagilah akan memburuk semua buku-buku terbitan DBP dalam setor DAWAMA!

Buat apa susah-susah hendak menjual buku DBP sedangkan makan duit buku teks pun salesman DAWAMA sudah gemuk?

Bagi orang ramai pula, kalau hendak membeli buku DBP, tunggulah setahun sekali DAWAMA mengadakan lelong jualan kilangnya!

Kita juga mendengar desas-desus pertunangan merger antara DAWAMA & SASBADI mungkin diputuskan oleh pihak SASBADI disebabkan DAWAMA gagal menunjukkan prestasi target jualan sebagaimana yang dipersetujui dalam MOU mereka.

SASBADI dan DAWAMA berminat kahwin sebab pemegang-pemegang saham DAWAMA dan SASBADI sama-sama mahu cash-in, yakni menuai keuntungan dengan mengapungkan saham DAWAMA/SASBADI di papan pertama BSKL.

Ada pula desas-desus yang mengatakan SASBADI sedang “diurat” oleh seorang jejaka korporat Melayu kayaraya yang sedang mencuba buat kali kedua hendak memasuki pasaran buku-buku bersilabus.

Jejaka korporat itu berminat membeli SASBADI sebab dia pun mahu mengapungkan saham syarikatnya ke Papan Pertama BSKL.

.

.

3 Komen :

At 10:10 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

DBP tidak sepatutnya mengswastakan LIMA fungsi bahagiannya. Itu komen saya.

SINAGANAGA

 
At 12:42 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

memang buku2 dan majalah terbitan DBP tidak ditemui di kedai2 buku lain melainkan gedung DBP.

 
At 4:42 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

malas berusaha,
nak untung atas angin jee.
Mentali subsidi masih di tahap lama.

 

Post a Comment

<< Home