Pengarang sebagai Manusia MahaTahu dan MahaBerdaya: Prinsip Surah Yusuf
Dalam tradisi teknik penulisan cerpen dan novel konvensional, pengarang mengambil posisi sebagai “Manusia MahaTahu dan MadaDaya”. Ertinya, pengarang tahu apa yang ada dalam hati dan fikiran watak-wataknya disebabkan pengarang berkuasa masuk ke dalam hati dan otak watak-wataknya lalu dia dapat membaca segala perasaan dan fikiran watak-watak itu.
Ini adalah salah satu perbezaan antara teknik mengarang berdasarkan surah Yusuf dengan teknik mengarang cara konvensional. Manakala dalam teknik konvensional pengarang dibenarkan menjadi Manusia MahaTahu dan MahaBerdaya, hal yang sama tidak berlaku dalam teknik surah Yusuf.
Di bawah adalah contoh ayat-ayat di mana pengarang bersikap sebagai orang yang MahaTahu dan MahaBerdaya:
Contoh 1: Dalam petikan ini pengarang masuk ke dalam otak watak lalu membaca fikiran wataknya itu.
Dia kuatkan hati untuk belajar. Tetapi semasa belajar di Australia ini, bidang kedoktoran bukanlah pilihannya. Dia sebenarnya tidak berminat untuk menjadi seorang doktor. Tidak terfikir di benaknya bahawa suatu hari dia akan bekerja di hospital dan menjadi benteng harapan terakhir setiap pesakit yang mahu sembuh daripada penyakit yang dihidapinya. Tetapi disebabkan dia tidak mahu mengikuti kursus kejuruteraan dan kursus perakaunan, maka akhirnya dia memutuskan untuk memilih bidang perubatan. Timbul juga perasaan lain dalam hatinya untuk memecahkan tradisi keluarga yang selama ini belum pernah melahirkan seorang doktor. Justeru itu dia nekad. Nekad hendak menjadi seorang doktor.
Contoh 2: Dalam petikan ini pengarang masuk ke dalam hati dan sanubari watak lalu membaca perasaan wataknya itu.
Justeru dengan segala rasa cinta; dengan segala rasa sayang; dengan segala rasa keagungan bangsa, leluhur menitip pesan di halwa dengar - dilampiri sifat tertib dan sopan tidaklah dapat digambarkan, akan segala rasa yang dilukiskan suci durja leluhur. Begitu niat di hatinya sejauh langit di junjung, begitu nawaitu di jiwanya sesayup segara dilihat mendung, begitu jika diukur seberat dunia tidak mampu digendong, rasa kecintaan leluhur kepada bangsa yang dikandung.
Dalam surah Yusuf, tidak ada ayat-ayat di mana Allah sebagai pengarang, menceritakan secara langsung fikiran-fikiran dan perasaan-perasaan Nabi Yusuf, Zulaikha, al-Aziz ataupun watak-watak lain.
Justeru dalam teknik mengarang berdasarkan surah Yusuf, pengarang bukan manusia omnipocent, yakni manusia yang mempunyai ciri-ciri mahatahu dan mahaberdaya, disebabkan sesungguhnya manusia tidak mempunyai keupayaan membaca apa yang tersembunyi di dalam otak dan hati manusia lain. Tuhanlah yang lebih mengetahui.
1 Komen :
contoh no 1 lebih seronok dibaca.
Tq.
Post a Comment
<< Home