Friday, August 05, 2005

Apa Itu Runner?

Adakah saudara seorang pekerja pejabat? Barangkali di pejabat saudara ada Mamak yang datang naik motor sebulan sekali dengan membawa majalah kegemaran saudara. Saudara melanggan majalah daripada Mamak itu. Mamak itulah yang dipanggil “runner” dalam dunia bisnes.


Runner buku mengambil bekalan buku mereka daripada pengedar. Mereka menerima diskaun 25%. Pembeli menerima diskaun 10% daripada runner.


Sekolah-sekolah amat bergantung kepada runner. Mereka membekalkan macam-macam keperluan pentadbiran sekolah, termasuk pembelian buku-buku untuk perpustakaan, kegunaan murid dan guru.


Jika saudara hendak menjadi runner buku, saudara boleh menghubungi pengedar buku dan membuka akuan dengan mereka. Tiap-tiap pengedar mempunyai syarat-syarat mereka sendiri tentang bagaimana saudara akan berniaga dengan mereka.


Lazimnya penerbit besar tidak mahu membuka akuan dengan runner, kecuali runner yang datang membeli tunai. Risiko berniaga dengan runner adalah jika runner 'lari' penerbit tidak tahu di mana mereka hendak dicari! Maklumlah runner tidak mempunyai kedai ataupun pejabat. Mereka itu amat mobile.


Runner yang mempunyai modal lebih suka membeli tunai disebabkan mereka boleh mendapat diskaun sehingga 45% daripada penerbit, serupa dengan diskaun penerbit. Jika mereka membeli tunai daripada pengedar mereka lazimnya boleh mendapat 35% sahaja.