Thursday, August 04, 2005

Buku Melayu Masuk Superstore

Empat tahun lalu, kalau saudara masuk superstore buku di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, saudara takkan nampak rak buku-buku Melayu.

Pada waktu itu pengurusan superstore-superstore itu memandang hina pada buku-buku Melayu. Waktu pegawai PTS mula-mula pergi berjumpa mereka dengan harapan mereka mahu meletakkan buku-buku terbitan PTS, apa kata mereka? "We don't carry Malay books!"

Superstore yang mula-mula mencuba mempamerkan buku-buku Melayu adalah Kinokuniya. Barangkali syarikat Jepun tidak ada masalah dasar bahasa.

Selepas Kinokuniya mendapati buku-buku Melayu laku, pegawai PTS mempunyai modal untuk pergi sekali lagi dan cuba meyakinkan superstore lain dengan alasan, "Kinokuniya terima buku-buku Melayu. Kalau encik tak jual buku Melayu, nanti pelanggan Melayu encik akan lari ke Kinokuniya!"