Tuesday, August 02, 2005

Sen dan Persen

Berapakah persen royalti yang saudara terima daripada penerbit saudara?

5%? 7%? 10%? 12.5%? 16%? 20%?

Jumlah persen royalti sering kali menjadi punca rosaknya hubungan baik antara penulis dan bakal penerbit karya si penulis. Ini terutama berlaku apabila si penulis baru kali pertama hendak menerbitkan karyanya dengan si penerbit itu. Pernahkah saudara mendengar dialog seperti di bawah?

"Berapa persen royalti saya?" tanya si penulis.

"7%," jawab editornya.

"Tapi penerbit Polan-Polan Sdn. Bhd. memberi saya 10%!" si penulis membantah.

"Kami hanya mampu memberi 7% daripada harga buku yang dicetak di kulit belakang buku encik," kata si editor.

"Beginilah," kata si penulis. "Saya tarik balik cadangan saya hendak menerbitkan karya saya dengan syarikat awak!"

Banyak penulis tidak benar-benar faham implikasi persen-persen royalti yang ditawarkan kepada mereka, termasuk penulis-penulis yang ternama. Mereka hendak mendengar jumlah angka persen itu sahaja: 10%? 12.5%? 20%? Itu saja.

Banyak penerbit tahu benar kelemahan penulis dan mereka mengeksploitasi kelemahan itu. Ambil contoh-contoh kes berikut:

1. Sebuah penerbit menawarkan royalti 16%. Sekali pandang bunyinya sangat menarik. Tetapi penulis tidak peduli hendak bertanya 16% itu 16% daripada apa? Rupa-rupanya 16% daripada harga buku selepas ditolak diskaun kepada pengedar. Apabila tiba masa kiraan royalti barulah penulis tahu penerbit memberi potongan 50% kepada pengedar. Harga asal buku itu RM20, selepas ditolak diskaun pengedar harganya tinggal RM10. Penulis dibayar royalti 16% daripada RM10!

2. Sebuah pengedar menawarkan royalti 11% kepada penulisnya. Tetapi dalam dokumen perjanjian penerbitan tidak dituliskan berapa harga buku itu. Begitu juga harga itu tidak dicetak pada buku. Pada suatu hari si penulis pergi ke kedai buku dan nampak bukunya di atas rak. Dia pun mengambil bukunya. Pada bukunya itu ditampal stiker harga. Pada stiker itu tertulis harga bukunya RM18. Apabila tiba masa menerima royalti, dia tidak puas hati kerana jumlah wang yang diterima lebih rendah daripada jumlah yang dikiranya sendiri iaitu 11% daripada RM18. Penerbit mengatakan jumlah wang itu betul iaitu 11% daripada harga jualan RM14. "Kalau kedai naikkan harga, saya tidak tahu!" kata tuan punya syarikat penerbitan itu.

3. Seorang penulis ditawarkan royalti 10% daripada harga jualan yang tercetak. Harga buku itu Rm15. Tetapi apabila tiba masa mengira royalti, penerbit menolak 300 naskhah promosi dan 100 naskhah peruntukan bagi buku yang rosak. Setahu penulis itu si penerbit tidak menjalankan apa-apa program bagi mempromosi bukunya sehingga jualan bukunya amat rendah.

4. Seorang penulis ditawarkan royalti 14% oleh penerbitnya. Dia diberitahu cetakan pertama bukunya adalah 2 ribu naskhah sahaja sebab penerbit tidak yakin buku itu laku. Dia hanya sekali menerima royalti sebanyak RM1,500. "Buku tak laku," kata si penerbit. Tiga tahun kemudian, daripada seorang petugas setor yang bekerja dengan penerbit itu, dia mendapat tahu bukunya setiap tahun dicetak semula tanpa menukar "cetakan pertama 1999".

Apabila saudara hendak menyerahkan buku saudara kepada mana-mana penerbit, jangan buat keputusan berdasarkan persen-persen. Ambil kira faktor-faktor lain yang lebih penting sebelum membuat pilihan.