Friday, August 05, 2005

Buku Indonesia

Permintaan bagi buku-buku Melayu begitu tinggi sekarang sehinggakan pengedar-pengedar buku kita terpaksa memenuhi permintaan itu dengan meningkatkan lagi aktiviti mengimpot buku-buku dari Jakarta.


Sebuah pengedar besar di Kuala Lumpur baru-baru ini mengimpot sejumlah 400 kotak buku-buku Indonesia yang bernilai berjuta ringgit.


Pada bulan Jun lalu, Pesta Buku Jakarta melihat paling ramai pengunjung dari Malaysia, berganda kali lebih ramai daripada tahun-tahun sebelum ini. Wajah-wajah yang dulu tidak pernah kelihatan dalam pesta itu pun kali ini tiba-tiba muncul. Mereka berebut-rebut cuba membuat temujanji untuk berjumpa dengan wakil-wakil penerbit-penerbit terbesar di Jakarta dan Bandung.


Rata-rata mereka yang pergi buat kali pertama ke pesta buku Jakarta itu terkejut menyaksikan sendiri kesan kemajuan dunia perbukuan di Indonesia. Seorang kontraktor buku dari Kuala Lumpur menyimpulkan apa yang dilihatnya itu dengan kata-kata, “Kita ketinggalan 30 tahun di belakang Indonesia.”


Rangkaian kedai-kedai buku besar di Kuala Lumpur mula menjual judul-judul dari Indonesia. Di kedai buku koperasi Universiti Malaya sudah terdapat rak-rak yang dikhaskan untuk buku-buku Indonesia.


Sebenarnya trend peningkatan mendadak impot buku Indonesia ke Malaysia ini sudah diketahui oleh masyarakat buku negara ini, tetapi orang awam tidak perasan sebab ia tidak dibincangkan dalam media.