Friday, August 12, 2005

Siapa Ashadi Zain?

Banyak orang mempunyai bakat yang tinggi. Tetapi bakat tinggi sahaja tidak cukup kalau mahu berjaya dalam apa yang saudara usahakan. Lebih penting daripada bakat adalah kegigihan.


Ashadi Zain, 27 tahun, adalah seorang Senior Accountant di sebuah bank. Beliau penulis PTS yang paling gigih. Kalau orang lain dalam kedudukan beliau, barangkali mereka sudah lama patah semangat.


Buku pertama beliau banyak menerima maklum balas negatif daripada pembeli sehingga pengurusan PTS memutuskan tidak mengulangcetak buku itu kecuali diperbaiki. Maklum balas itu tidak disorokkan oleh PTS, semuanya disampaikan kepada beliau.


Macam belum cukup pedih, disiram pula air garam. Sudahlah buku menerima kritikan teruk, Ashadi Zain kemudian menerima pula surat tunjuk sebab daripada majikannya mengapa tindakan tatatertib tidak boleh diambil ke atas dirinya kerana menulis dan menerbitkan buku tanpa izin pihak pengurusan!


Apa tindakan beliau? Beliau tidak memperbaiki bukunya yang teruk dikritik itu. Beliau menulis buku-buku lain. Kali ini buku-buku itu tidak lagi dikritik teruk oleh pembaca, tetapi buku-buku itu tidak pula bergerak laju.


Ashadi Zain penulis PTS seangkatan dengan Ahmad Naim Jaafar, Ahmad Fadzli Yusuf dan Syed Yusainee. Sewaktu buku-buku beliau lambat bergerak dalam pasaran, beliau tahu benar buku-buku rakan beliau laju keluar dari setor PTS, malah memecahkan rekod jualan PTS sebelumnya. Kalau orang lain, barangkali sudah serik!


Sudah jatuh ditimpa tangga pula! Salah sebuah karya beliau dicetak rompak oleh seorang yang menggunakan nama Tariq Ziyad dan dijual di mana-mana sahaja apabila perompak itu menyampaikan ceramah motivasinya. Sehingga 2005 buku cetak rompak itu sudah 2 kali diulangcetak dan dijual dengan harga RM20. Perompak itu pula banyak memberi motivasi di sekolah-sekolah seluruh negara. (Jaga-jaga cikgu semua, ada perompak menyamar pakar motivasi!)


Apa tindakan beliau? Kes beliau sudah dirujukkan oleh PTS kepada peguam pakar bidang harta intelek. PTS masih menunggu apa keputusan beliau disebabkan hakcipta buku itu adalah milik beliau. Dengan kes ini, ia adalah kali ketiga buku-buku penulis PTS dicetak dan diterbitkan oleh pihak lain!


Masuk tahun keempat, barulah ada tanda-tanda nama Ashadi Zain mula diterima oleh pasaran. Pada saat ini PTS sedang melancarkan kempen promosi 2 daripada 6 buah buku beliau. Tajuk kempen itu adalah "JOM BISNES!"