Tuesday, February 07, 2006

Pakaian Watak Perempuan: Teknik Surah Yusuf

Dalam seni aliran realisme, serba-serbi dilukiskan dan diterangkan dengan terperinci. Baca novel 'Salina' karya SN A. Samad Said, ataupun 'Perempuan Politikus Melayu' karya Faisal Tehrani.

Dalam surah Yusuf, ada beberapa unsur yang tidak diberikan maklumatnya secara langsung, apatah lagi secara terperinci. Pakaian watak-watak adalah salah satu unsur itu. Kita tidak diberitahu dengan jelas bagaimana rupa pakaian Nabi Yusuf, Zulaikha dan lain-lain watak.

Dalam surah Yusuf, rujukan tentang pakaian muncul 3 kali:

1. Kali pertama dalam episod abang-abang Nabi Yusuf membawa pulang bajunya yang dilumuri darah serigala lalu ditunjukkan kepada ayah mereka sebagai bukti kononnya Nabi Yusuf mati dimakan serigala. Dalam episod ini baju Nabi Yusuf berfungsi sebagai alat berdusta yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf.

2. Kali kedua dalam episod Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf sehingga koyak. Babak ini memberi gambaran baju Nabi Yusuf menutupi bahagian atas badannya dan bajunya itu dijahit kukuh, tidak mudah terbuka ataupun terlondeh, tidak dibelitkan keliling badannya seperti pakaian orang-orang Yunani zaman Aristotle. Baju itu diperbuat daripada bahan yang mudah koyak, ertinya bukan daripada bahan kuat seperti kulit binatang. Dalam episod ini baju Nabi Yusuf berfungsi sebagai alat membuktikan pendustaan Zulaikha.

3. Rujukan pakaian kali ketiga berlaku pada episod Nabi Yusuf mengirimkan bajunya melalui abang-abangnya supaya diberikan kepada ayahnya, Nabi Yaakub. Walaupun abang-abangnya masih di tengah perjalanan, Nabi Yaakub sudah dapat mencium bau baju Nabi Yusuf. Baju itu kemudian disapukan pada kedua-dua mata Nabi Yaakub yang buta, lalu sembuh. Episod ini memberi gambaran Nabi Yusuf mempunyai lebih daripada sehelai baju, dan bau badan beliau tersangat wangi! Dalam episod ini baju Nabi Yusuf berfungsi sebagai alat pengubatan penyakit Nabi Yaakub.

Ketiga-tiga rujukan pakaian itu dibuat pada baju watak lelaki, iaitu Nabi Yusuf. Tidak ada sama sekali rujukan pada baju watak perempuan, iaitu Zulaikha.

Adakah ini membayangkan bahawa dalam novel Islami pengarang tidak dibenarkan menerangkan pakaian watak-watak perempuan muda, perempuan cantik, perempuan penggoda, dan perempuan kaya, sebagaimana yang dilambangkan oleh watak Zulaikha? Kita berpandangan, ya, tidak dibenarkan.

Mengapakah hanya dalam 3 peristiwa ini sahaja rujukan pakaian berlaku dalam surah Yusuf, justeru ini adalah suatu unsur yang memerlukan analisis, dan ahli-ahli teori sastera Islami perlu mengemukakan teori bagi menerangkan unsur ini.


.