Monday, February 06, 2006

Unsur Kebetulan dalam Surah Yusuf

Dalam pemikiran pengkritik sastera aliran perdana, unsur kebetulan dianggap unsur kelemahan dalam plot. Unsur kebetulan juga dianggap bukti akan kelemahan pada cara fikir pengarang, yakni, pengarang yang kurang kreatif dan kurang tinggi IQ-nya yang menggunakan unsur kebetulan bagi menyelesaikan masalah pada plot cerita.

Manakala pemikiran sastera perdana menganggap kebetulan sebagai unsur kecacatan pada karya, teori sastera Islami mazhab surah Yusuf menerima unsur kebetulan sebagai unsur keindahan.

Dalam surah Yusuf terdapat unsur-unsur kebetulan seperti berikut:

a. Kebetulan, sewaktu Nabi Yusuf berada dalam telaga, air telaga itu tidak cukup dalam, jadi beliau tidak mati lemas.

b. Kebetulan, ada kafilah dagang lalu, kemudian salah seorang daripada mereka mencampakkan timba bertali ke dalam telaga sehingga Nabi Yusuf dapat bergantung pada tali timba itu.

c. Kebetulan, apabila Nabi Yusuf dijual di pasar, yang membelinya adalah al-Aziz, suami Zulaikha.

d. Kebetulan, sebaik-baik Zulaikha mengejar dari belakang dan menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak, tiba-tiba muncul al-Aziz, suaminya, di depan pintu.

e. Kebetulan, sewaktu peristiwa (d) terjadi dan dalam keadaan suaminya amat marah melihat dengan matanya sendiri apa yang berlaku, dan mendengar aduan Zulaikha kononnya Nabi Yusuf cuba mencabulinya, kebetulan ada seorang saksi yang ternampak peristiwa itu dan memberitahu al-Aziz supaya memeriksa apakah baju Nabi Yusuf di bahagian depan ataupun belakang.

f. Kebetulan, sewaktu Nabi Yusuf berada di dalam penjara, Raja Mesir mendapat mimpi luar biasa, yang tidak ada sesiapa dapat mentakbirkan makna mimpi itu.

g. Kebetulan Nabi Yusuf mempunyai kepandaian mentakbir mimpi lalu beliau dibawa berjumpa Raja Mesir.

Tentu sekali bukan semua jenis kebetulan dapat menghasilkan keindahan. Tentu sekali ada jenis-jenis kebetulan yang mencacatkan keindahan karya, yang mencerminkan kelemahan jalan fikir pengarang.

Kita memerlukan analisis lebih mendalam bagi mengkaji apakah ciri-ciri unsur kebetulan dalam surah Yusuf. Dengan analisis itu kita dapat menghasilkan formula mencipta keindahan dalam plot cerita berdasarkan teori sastera Islami mazhab surah Yusuf.




2 Komen :

At 5:33 PM, Blogger zalisa Berkata ...

kebetulan saya berpindah ke senawang dari KL. Kebetulan Kak Terataqilmu pun berpindah ke senawang dari KL juga.

Kebetulan kami berkenalan dan satu hari dia kebetulan jumpa sifu di satu pesta buku lalu sifu ajak ke bengkel.

kebetulan dia tahu saya suka menulis lalu mengajak saya ikut dia ke bengkel. wah, terlalu bayak kebetulan lah puan.

Tetapi unsur kebetulan dalam surah Yusuf walaupun banyak, tetap mempunyai jalan cerita yg kuat. nampaknya saya kena reka kebetulan2 yg kuat dan hebat seperti itu juga. barulah nampak real.

 
At 10:27 PM, Blogger loop Berkata ...

Formula dan idea 'kebetulan' ini ada kaitan dengan beberapa perkara:


1.Keimanan kepada Qadha Qadar. Inilah yang menyebabkan sastera Islam penuh dengan unsur ini. Syarat bagi mengelakkan terjebak dengan tahyul atau khurafat - kebetulan perlulah tidak menyebabkan hukum dalam agama bertambah celaru dan akal tidak mampu menerimanya

2.Kebetulan biasanya akan menyentuh nilai emosi, riak hati dan aspek 'catching' yang diambil kira dalam Islam. Nilai -nilai ini semua boleh dilihat lebih jelas dengan melaksanakan samada 'pemikiran dialektik', empati atau 'Evil Thinking'. Ia pasti menerangkan lebih dalam plot 'kebetulan' serta menarik minat pembaca.

3.'Kebetulan' hanya melibatkan sesuatu yang 'boleh berlaku' untuk menjadikan sesuatu cerita itu menarik dan disukai pembaca. Jika unsur 'kebetulan' itu amat pelik, ia akan menyebabkan pembaca tidak percaya. Cth: Kebetulan terjumpa kawan yang kini menjadi seorang penduduk tetap Marikh .


Allahu a'lam

 

Post a Comment

<< Home