Tuesday, January 31, 2006

Profesor pun Baca Novel Cinta

Seorang profesor perempuan bidang sains sebuah universiti yang terkenal pernah dilihat membaca novel cinta di ruang menanti sebuah klinik gigi.

Siapa kata novel-novel cinta hanya dibaca oleh remaja yang rendah taraf pendidikannya?


Tahniah kepada novelis-novelis cinta tanah air atas kejayaan menghasilkan karya-karya yang dapat dinikmati oleh perempuan daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan profesion.


Apakah barangkali faktor-faktor psikologi yang menyebabkan ramai perempuan, baik yang amat muda mahupun yang sudah awal-tua, baik yang berpendidikan rendah mahupun yang memiliki PhD, bagaikan tidak puas-puas membaca, mendengar dan menonton cerita-cerita cinta?


Salah satu teori mengatakan novel-novel cinta memenuhi naluri keperluan perempuan. Perempuan memerlukan asmara. Lelaki memerlukan s.... Disebabkan lelaki tidak pandai memberikan dos asmara sekucupnya kepada perempuan, makanya perempuan mendapatkan dos supplement itu daripada sumber-sumber lain seperti lagu-lagu cinta, filem Hindustan dan novel-novel cinta romantis.


Satu lagi teori mengatakan filem-filem dan novel-novel cinta memberikan ruang escapisme kepada perempuan. Mengikut teori ini, sang profesor perempuan itu membaca novel cinta untuk lari daripada tekanan hidup sehari-harian, di mana selepas tamat membaca cerita-cerita romantik itu beliau semacam berasa jiwa dan fikirannya lega, lapang dan ringan sedikit. Ertinya filem-filem dan novel-novel cinta mempunyai nilai terapi kepada perempuan.


Satu lagi teori mengatakan perempuan suka mengambil tahu kehidupan orang lain, dan novel-novel cinta memberikan mereka peluang membaca cerita-cerita dalam kain orang lain.


Apa sebenarnya yang mendorong sang profesor perempuan itu membaca novel cinta, Tuhanlah yang lebih mengetahui. Barangkali beliau mahu merehatkan otak sebentar sesudah penat membaca jurnal-jurnal sains....






1 Komen :

At 12:01 PM, Blogger cenderawasih Berkata ...

Puan,
saya setuju dgn kata2 puan bahawa novel2 cinta adalah santapan masa rehat(terapi). seorang doktor sudah tentu merasa sakit kepala membaca perkara yg berat2. jadi mereka memerlukan masa utk bersantai. novel2 cinta memberi peluang fikiran bersantai. sebab itu tidak boleh disekat sesiapa sahaja dari menghasilkan novel cinta. apa yg boleh dilakukan ialah islamkan novel cinta.

Hidup novel cinta Islami! Hidup PTS!

 

Post a Comment

<< Home