Tuesday, January 24, 2006

Lagi Novelis Perempuan akan Menjadi Penerbit

Gosip-gosip dunia buku Melayu mendengar khabar angin seorang lagi novelis wanita yang terkenal akan terjun ke dalam dunia perniagaan sebagai penerbit sebelum akhir 2006 ini.

Memang cerita-cerita berkenaan larisnya novel-novel cinta dan ratusan ribu ringgit royalti yang diterima oleh novelis-novelis cinta amat menggoda kalangan novelis-novelis itu sendiri bagi menceburi bidang penerbitan.

Bayangkanlah, mengikut perkiraan royalti tahun 2005, salah seorang penulis novel cinta bestseller dikatakan mengutip RM375 ribu. Wang itu adalah royalti, bagaimana kalau seseorang itu menerbitkan sendiri novelnya, bukankah dia akan menerima royalti ditambah dengan margin keuntungan perniagaan pula. Tentu lebih banyak wangnya!

Jika perkahwinan antara novelis dan syarikat penerbit yang ada sekarang ini begitu baik sehingga membolehkan si pengarang mengutip ratusan ribu royalti setiap tahun, apakah ada rasional yang menyokong pihak novelis memilih mahu bercerai dan hidup sendiri?

Menjadi penerbit ada banyak risikonya dan ada baiknya bagi pengarang. Jika saudara menerima RM375 ribu, hanya RM20 ribu sahaja yang bebas cukai pendapatan. Bagi RM355 ribu lagi, cukai pendapatannya sudah lebih 30%. Ini bermakna saudara akan membayar sekitar RM100 ribu kepada LHDN.

Saudara tidak dapat lari daripada membayar cukai pendapatan peribadi daripada jumlah royalti saudara. Tetapi jika saudara mempunyai “sendirian berhad” penasihat percukaian saudara dapat memberikan pelbagai cara bagaimana saudara dapat mengurangkan cukai yang saudara mesti bayar.

Namun, elok diingat statistik Pendaftar Syarikat yang menunjukkan 93% perniagaan tutup dalam tempoh 3 tahun ia mula beroperasi. Ini statistik.