Simbol-simbol Material dalam Surah Yusuf
Dalam dunia sebenar, kita mengetahui seseorang itu kaya dengan melihat kepada simbol-simbol kekayaan yang ada pada orang itu, umpamanya jenis kereta yang dipandunya. Sesetengah jenis kereta adalah simbol kekayaan, sebagai contoh, kereta brand Mercedes ataupun BMW.
Novelis-novelis yang berkarya menggunakan teknik konvensional menceritakan dengan terperinci simbol-simbol kekayaan watak-watak dalam novelnya.
Bagi menggambarkan watak-watak kaya, diterangkan kawasan perumahan di mana watak itu tinggal, jenis rumahnya, keadaan di dalam dan di luar rumahnya, keretanya, pakaiannya, perhiasan badannya, di mana dia berbelanja, di mana dia suka minum kopi, di mana dia main golf, pelbagai maklmuat tentang gaya hidupnya diberikan dengan terperinci.
Dalam kursus-kursus penulisan konvensional, para pembimbing daripada mazhab aliran sastera realisme, menghendaki penulis-penulis muda belajar menggambarkan realiti dengan sereal-realnya.
Inilah yang mendorong sesetengah penulis aliran konvensional pergi ke tempat-tempat yang tidak elok sebelum memulakan penulisan novelnya, atas alasan kalau si penulis sendiri tidak pergi ke tempat-tempat itu dan membuat kajian di sana, akibatnya nanti karya yang dihasilkannya itu tidak cukup 'real'!
Teknik sastera realisme ini bunyinya mudah, tetapi bagi penulis-penulis muda, sering kali teknik ini 'impossible'!
Andaikanlah saudara seorang penulis perempuan sudah berusia 57 tahun, sudah bertudung labuh, tetapi dalam novel yang saudara tulis ada watak seorang GRO di sebuah kelab orang-orang elit. Bagaimanakah saudara dapat memberikan gambaran terperinci keadaan dalam kelab itu sedangkan saudara sendiri tidak pernah pergi ke tempat-tempat seperti itu. Kalau terpaksa juga memasuki kelab-kelab seperti itu, dengan memakai tudung labuh, bagaimana mahu dapat masuk? Impossible!
Jika saudara orang miskin bagaimana mungkin saudara dapat memberikan gambaran terperinci cara hidup orang-orang yang kaya-raya, melainkan saudara menuliskan ayat-ayat klise, ataupun berdasarkan apa yang saudara tonton dalam televisyen. Tetapi skrip drama-drama televisyen pun ditulis oleh orang-orang 'miskin', maka itulah sebabnya gaya hidup orang kaya dalam drama Melayu TV kita tidak betul!
Sebaliknya pun begitu juga. Jika saudara anak orang kaya, bagaimana mungkin saudara dapat memberikan gambaran detail tentang gaya hidup orang-orang miskin. Saudara akan lakukan yang serupa, menulis ayat-ayat klise dan berdasarkan apa yang saudara tonton di televisyen.
Jikalau saudara tidak pernah ke Kathmandu, dengan berpandukan teknik penulisan konvensional, saudara dengan sendiri tidak berani mencipta plot cerita di mana hero dan heroinnya pergi berbulan madu di Kathmandu.
Apabila saudara menulis novel dengan berpandukan teknik surah Yusuf, perlukah saudara berikan maklumat yang tepat tentang simbol-simbol kekayaan yang dimiliki oleh seseorang hartawan itu? Perlukah saudara menggambarkan dengan tepat senibina hotel di Kathmandu tempat hero dan heroin dalam novel saudara itu berbulan madu?
Tidak perlu! Sekali lagi, TIDAK PERLU!
Salah satu unsur yang menarik dalam surah Yusuf adalah ketiadaan deskripsi terperinci tentang simbol-simbol kekayaan.
Zulaikha adalah isteri al-Aziz, seorang yang bepengaruh di Mesir. Nabi Yusuf dijual sebagai hamba dan kemudian dibeli oleh al-Aziz dan dibesarkan dalam rumah hartawan itu.
Ada dua ayat yang memberi maklumat tentang rumah al-Aziz dan perabot dalam rumah itu. Hanya dua maklumat itu sahaja. Pertama rumah al-Aziz mempunyai banyak pintu. Kedua, dalam rumah itu ada tempat duduk bersandar bagi para tetamu. Tetapi kita tidak diberi maklumat tentang bahan dan rupa bentuk pintu-pintu itu mahupun tempat duduk bersandar itu.
a. “....dia (Zulaikha) mengajaknya berbuat serong, lalu ditutupnya semua pintu, dan berkata, “Mari ke mari!...” (Yusuf, ayat 23) Daripada ayat ini kita dapat membayangkan rumah Zulaika mempunyai banyak pintu, maknanya rumah itu besar. Lebih daripada itu kita tidak diberitahu berkenaan lokasi dan ciri-ciri fizikal rumahnya.
Ini bermakna saudara tidak perlu menuliskan ayat-ayat seperti “Datuk Rahimy turun dari kereta Mercedes 320-nya lalu masuk ke dalam rumah banglo tiga tingkat, di mana dia menyorokkan isteri ketiganya, Rosmaria, yang terletak di kawasan elit Ukay Heights.”
Berdasarkan teknik surah Yusuf, cukup dengan menulis “Datuk Rahimy turun dari keretanya lalu memasuki rumah di mana dia meyorokkan Rosmaria, isteri ketiganya.”
b. “Tatkala perempuan itu (Zulaikha) mendengar perihal umpatan mereka, lalu dia mengundang mereka, dan disediakannya tempat duduk bersandar, lalu dia berkata kepada Yusuf, “Keluarlah!....” (Yusuf, ayat 31) Daripada ayat ini kita hanya dapat membayangkan kemewahan dalam rumah Zulaikha.
Pada suatu masa Nabi Yusuf dilantik menjadi menteri yang menjaga perbendaharaan kerajaan Mesir. Ada ayat yang menerangkan Nabi Yusuf mempunyai tempat tinggal dan ada ayat yang memberitahu Nabi Yusuf mempunyai singgahsana tetapi seperti pada ayat 23 dan 31, kita tidak diberitahu bagaimana rupa bentuk tempat tinggal Nabi Yusuf ataupun rupa bentuk singgahsananya.
a. “....lalu Yusuf menempatkan ibu bapanya di tempat tinggalnya dan berkata,....” (Yusuf, ayat 99)
b. “....Kemudian Yusuf mendudukkan ibu bapanya di atas singgahsananya, lalu mereka sujud....” (Yusuf, ayat 100)
Dalam ayat 99 dan 100 ini, kita tidak diberitahu secara terperinci bagaimana rupa bentuk rumah dan singgahsana ataupun tempat duduk Nabi Yusuf yang pada waktu itu menjadi menteri perbendaharaan negeri Mesir.
Justeru, berdasarkan ayat-ayat di atas, dengan berpandukan teknik surah Yusuf, dalam penulisan novel Islami, penulis tidak perlu memberi gambaran terperinci berkenaan lambang-lambang kekayaan ataupun kemiskinan watak-watak dalam novelnya.
Dalam teori novel Islami, yang penting, yang mesti dilukiskan dengan terperinci, adalah WATAK dan DIALOG. Simbol-simbol material tidak penting. Mengapa? Tuhanlah yang lebih tahu.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home