Sunday, January 22, 2006

Pesara Hendak Menjadi Penerbit

Disebabkan usia 56 tahun adalah terlalu muda bagi bersara, majoriti lelaki yang hampir tiba pada tarikh persaraan tergoda dengan idea memulakan bisnes dengan menggunakan wang EPFnya sebagai modal.

Jikalau saudara sekarang bertugas dalam bidang perbukuan, saudara mungkin memikir-mikirkan idea hendak menceburkan diri ke dalam dunia penerbitan buku apabila saudara bersara nanti.

Kita tidak menggalakkan pesara menggunakan wang EPFnya sebagai modal bisnes – apa jua jenis bisnesnya.

Simpan wang EPF saudara itu dalam mana-mana pelaburan amanah saham yang banyak ditawarkan oleh institusi kewangan. Lebih baik simpan dalam LUTH. Jangan sentuh wang itu. Makan dividennya sahaja sebagai tambahan kepada duit pencen bulanan saudara.

Gunakan masa yang banyak selepas bersara untuk menebus hutang-hutang lama kita kepada Tuhan dan kepada masyarakat, maklumlah semasa bekerja semua orang pun amat sibuk dengan urusan dunia.

Orang lain bekerja dan berjimat cermat kerana hendak mempunyai simpanan wang tunai yang banyak apabila sudah tua.

Saudara pula, selepas berpuluh-puluh tahun menyimpan ratusan ribu ringgit dalam tabung EPF, saudara hendak 'perjudikan' wang itu dalam aktiviti yang saudara tidak mempunyai bakat dan kemahiran. Kalau saudara mempunyai bakat dan dorongan dalaman yang kuat mahu menjadi usahawan, saudara takkan makan gaji sampai tempoh persaraan!

Cuba buat sedikit tinjauan rambang di kalangan para pesara: Berapa ramaikah pesara yang menggunakan wang EPFnya sebagai modal bisnes, akhirnya dia berjaya dalam bisnesnya itu. Berapa ramai pula yang semua wang EPFnya yang dijadikan modal bisnes hangus begitu sahaja, satu ringgit pun tak tinggal lagi.

Simpan wang EPF saudara. Menjadi penerbit buku bukan kerja yang sesuai bagi pesara – pesara DBP sekalipun! (Selama saudara bekerja di DBP, apa kemahiran yang DBP telah ajarkan tentang bisnes perbukuan kepada saudara?) Noktah.

Jangan ambil kes blogger ini sebagai mantan DBP yang dapat menjadi penerbit. Si blogger (gila) ini meletakkan jawatan (notis 24 jam) pada usia 38 tahun, sebab dia tidak tahan hendak tunggu sampai 56 tahun baru mula berniaga.


2 Komen :

At 9:46 PM, Blogger Al-Haqir Wal-Faqir Ilallah Berkata ...

Apabila 'Si Blogger' menggelarkan dirinya 'gila', maka kita yang menari rentak yang sama, juga adalah gila seadanya. Kerana kegilaan itu membuatkan kita mengecapi kepuasan 'kegilaan' yang tidak semua orang dapat berkongsi kegilaan itu (nokhtah)'Hidup sifuku!' Kami ada dibelakangmu!

Dari 'Kambing' gila

 
At 9:08 AM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Walid, Kursus 4 Feb jangan tak datang. Saya sudah baca folder kambing gila. Macam nak gile memikirkan macam mana nak menukar kambing menjadi seorang pengarang yang banyak peminat.

Mbek! Mbeeeek!

 

Post a Comment

<< Home