Sunday, January 22, 2006

Memulakan Cerita: Teknik Surah Yusuf

Jikalau saudara baru belajar menulis novel, lazimnya mencipta ayat pertama adalah masalah pertama saudara. Dalam bengkel-bengkel penulisan kreatif konvensional yang dikendalikan untuk penulis-penulis muda, masalah ini tidak diberikan jawapannya oleh para pembimbing bengkel.

Jawapan kepada masalah ini ada dalam teori novel Islami mazhab surah Yusuf. Berdasarkan surah Yusuf, ayat pertama novel saudara adalah dialog watak utama dalam novel saudara.


Dalam kisah Nabi Yusuf, cerita dibuka dengan Nabi Yusuf berkata kepada ayahnya, lebih kurang begini maksudnya, “Ayahanda, malam tadi anakanda bermimpi, sebelas bintang, matahari dan bulan, semuanya sujud kepada anakanda.”


Sekarang timbul isu, apakah intipati maklumat yang terdapat dalam dialog pertama itu?


Berdasarkan surah Yusuf, isi dialog pertama itu adalah, Nabi Yusuf sebagai watak utama, mengemukakan suatu persoalan yang dia tidak tahu apa jawapannya.


Jadi, sebagai contoh, saudara boleh memulakan novel dengan dialog-dialog seperti di bawah di mana watak utama mengemukakan persoalan yang tidak difahami apa maknanya:


a. “Mengapakah nama saya 'bin Abdul Wabah' sedangkan nama Abang Long dan Abang Ngah 'bin Sulaiman'?” Faiz bertanya kepada ibunya yang sedang mengilatkan kasut-kasut kulit Tuan Jim, pengurus ladang getah di mana ibunya bekerja sebagai amah dalam rumah orang Inggeris itu.


b. “Tidakkah boleh saya berhenti sekolah dan tinggal di rumah menjaga adik-adik?” tanya Rosmini kepada ayahnya, seminggu selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser rahim. “Saya sudah pandai memasak nasi, membasuh baju dan mengemas rumah. Kita tidak perlu pindah dan tinggal dengan nenek,” katanya lagi, sambil menghembus-hembus api kayu di bawah kuali buruk yang digunakan ayahnya bagi menggoreng telur dadar untuk mereka makan anak beranak.


c. “Mengapa Makcik Ramlah tidur dalam bilik dengan ayah? Mengapa pula emak tidur dengan kami?” Kamaliah yang baru berusia tujuh tahun bertanya kepada ibunya. “Suruhlah Makcik Ramlah yang tidur dengan kami di sini,” katanya lagi.


Dengan berpandukan surah Yusuf, teknik mencipta ayat pertama novel menjadi mudah sekali. Quran itu sebuah buku panduan hidup seharian, sehingga bagi tujuan menulis novel sekalipun, novelis-novelis Islami dapat menggunakan buku Allah itu sebagai manual teknikal.




2 Komen :

At 10:42 AM, Blogger Unknown Berkata ...

sesuatu yg hebat, selalunya datang dari idea yg gila atau gila-gila..

kalau tak kerana idea gila, mungkin PTS belum wujud lagi sekarang ini...

 
At 11:37 AM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Jiwarasa, saya setuju dengan pendapat saudara. Nabi kita pun dikatakan 'gila'. Hehehehe...

 

Post a Comment

<< Home