Tuesday, January 24, 2006

Penulis dan LHDN

Kaum penulis di negara ini mendapat layanan istimewa sewaktu Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan. Disebabkan beliau seorang yang kuat membaca buku dan suka sastera, beliau telah menerima beberapa cadangan dalam memorandum yang dihantar oleh persatuan-persatuan penulis.

Salah satu syor yang beliau terima dan laksanakan adalah skim galakan penulisan dalam Bahasa Melayu. Beliau telah memberi peruntukan di mana cukai pendapatan tidak dikenakan ke atas RM20 ribu pertama royalti dan honorarium yang diterima oleh penulis, dan RM12 ribu pertama oleh penterjemah buku-buku ilmu.

Layanan yang diberikan kepada kaum penulis ini amat istimewa. Bayangkan seorang jutawan menulis buku, RM20 ribu pertama royaltinya adalah bebas cukai! Seniman bidang-bidang lain tidak menerima layanan istimewa ini. Di zaman Anwar Ibrahim juga, persatuan-persatuan yang memperjuangkan perkembangan Bahasa Melayu mendapat dukungan kuat daripada beliau.

Bagi saudara-saudara yang belum pernah menerima royalti ataupun honorarium daripada hasil karya saudara yang diterbitkan, barangkali saudara tidak ambil pusing urusan membayar cukai pendapatan daripada royalti itu.

Walaupun RM20 pertama itu bebas cukai tetapi saudara mesti mengisytiharkan pendapatan itu apabila saudara mengisi borang cukai.

Ada penulis menyangka LHDN tidak akan tahu jika dia tidak mengisytiharkan pendapatan royalti dan honorariumnya. Sangkaan ini salah. Setiap ringgit yang saudara terima itu LHDN tahu! Jadi jangan sorokkan maklumat berkenaan royalti yang saudara terima.

Bagaimanakah LHDN dapat mengetahui pendapatan saudara? Begini, undang-undang negara ini mewajibkan semua syarikat penerbit buku, akhbar dan majalah melaporkan kepada LHDN jumlah wang yang mereka bayar kepada penulis. Jadi, setiap tahun, penerbit saudara menghantar maklumat kepada LHDN berapa banyak royalti dan honorarium yang dibayar kepada saudara!

Jika saudara menerbitkan karya-karya saudara dengan banyak penerbit, tiap-tiap penerbit itu melaporkan jumlah royalti dan honorarium yang mereka bayar kepada saudara.

Kumpulkan dan simpan dalam fail semua dokumen pembayaran royalti. Kepilkan dokumen-dokumen itu apabila saudara mengisi borang cukai pendapatan.

Simpan semua resit saudara membeli buku, akhbar, majalah, komputer, bil internet dan lain-lain alat kerja yang saudara gunakan bagi menghasilkan karya-karya saudara. Gunakan bil-bil itu bagi memohon potongan cukai.

Jika saudara sudah beberapa tahun menerima royalti melebihi RM20 ribu setahun, tetapi belum pernah mengisytiharkannya, tahun ini saudara isytiharkan.

Saudara tidak dapat lari daripada berdepan dengan pegawai-pegawai LHDN, lambat laun mereka akan dapat cari saudara. Waktu itu denda yang saudara kena bayar mungkin lebih banyak daripada jumlah cukai.



3 Komen :

At 6:13 AM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Eyman,

Betul kata saudara, saya setuju sangat. Dengan membayar zakat, dapat banyak berkat, dapat sedikit pun berkat. Yang penting berkat.

 
At 1:59 AM, Blogger Panaharjuna Berkata ...

info ini penting dan sangat bagus buat saya. Terima kasih saudara Eyman Hykal dan Pn Ainon kerana membuka fikiran agama saya semula, saya pun pernah mendengar tentang bayaran cukai yang di potong atau di tolak dari zakat itu tapi tidak menyangka pula bahawa 1/40 itu lebih tinggi dari nilaiannya dari cukai LHDN itu .Terima kasih .

 
At 10:14 PM, Blogger el-Maaniq Berkata ...

eyman hykal ni bukan ke en nordin, GM alaf21?

 

Post a Comment

<< Home