Sunday, February 05, 2006

Penerbit Kecil Lawan Penerbit Besar: Strategi Surah Yusuf

Adakah saudara bercita-cita menjadi penerbit buku?

Salah satu tingkah laku orang yang baru hendak belajar menjadi penerbit adalah menerbitkan jenis buku-buku yang sedang popular dalam pasaran. Sebagai contoh, disebabkan pasaran novel-novel cinta sedang berkembang pesat, maka banyak penerbit baru muncul ikut menceburi sektor novel cinta.


Sebelum saudara mula membelanjakan wang modal perniagaan saudara itu, cuba fikirkan sektor pasaran mana saudara patut ceburi.


Ada 3 jenis pasaran. Satu pasaran matang (developed market), pasaran baru muncul (emerging market) dan satu lagi pasaran belum dibangunkan (underdeveloped market).


Pasaran matang adalah pasaran yang sudah ada 2 ataupun 3 “budak-budak besar” yang mendominasinya. Sektor novel cinta adalah pasaran matang kerana ada 2 budak besar di dalamnya iaitu Alaf21 dan Creative.


Apabila saudara masuk ke dalam pasaran yang sudah matang, ada beberapa kelebihannya. Orang sudah kenal novel cinta. Peminatnya sudah ramai. Saudara tidak perlu membelanjakan wang bagi membuka dan membangunkan pasaran bagi novel-novel cinta yang saudara terbitkan. Saudara hanya perlu mendapatkan manuskrip daripada pengarang yang namanya sudah terkenal dan peminatnya sudah ramai.


NB Kara milik Norhayati Berahim, Media Intens milik Fauziah Ashari, KarnaDya milik Aina Emir dan KakiNovel memasuki pasaran matang. Kecual KakiNovel, Norhayati, Fauziah dan Aina dapat masuk disebabkan mereka juga pengarang bernama besar dan mereka menerbitkan karya mereka sendiri.


Contoh sektor pasaran baru muncul adalah sektor buku-buku bisnes. Setiap bulan, di dalam kedai-kedai buku sudah terdapat tajuk-tajuk baru buku bisnes. Tetapi, belum ada budak-budak besar yang mendomnasi sektor buku bisnes.


Apabila saudara masuk pasaran baru muncul, saudara tidak dapat mencetak banyak naskhah kerana peminat buku-buku bisnes belum cukup banyak. Bagi setiap judul saudara hanya dapat menjual antara 1000 sehingga 2000 naskhah sahaja. Oleh sebab itu bisnes saudara tidak dapat hidup kalau saudara hanya menerbitkan 1 ataupun 2 judul sebulan. Jumlah pengarang dalam sektor buku bisnes amat kecil sehingga saudara takkan dapat menerbitkan 10 judul sebulan.


Sektor ketiga adalah pasaran yang belum dibangunkan. (Pada suatu masa dahulu sektor novel cinta remaja belum muncul, sehinggalah muncul Alaf21 membangunkannya.) Contoh sektor ini adalah buku-buku novel grafik. Apabila saudara hendak masuk dan membangunkan sektor novel grafik, saudara ibarat hendak membuka negeri di tengah-tengah hutan tebal.


Jadi, sekarang, saudara memilih sektor mana? Logik orang yang baru belajar berniaga akan mengatakan masuklah sektor yang sudah matang. Ini yang dilakukan oleh NB Kara, Media Intens, KarnaDya dan KakiNovel.


Apabila saudara memasuki sektor matang bermakna saudara mesti berdepan dengan budak-budak besar. Budak-budak besar mempunyai kuasa besar dalam pasaran. Mereka mempunyai keupayaan menekan para pengedar dan kedai-kedai buku supaya jangan mengedar ataupun menjual buku saudara.
Budak-budak besar berupaya membunuh pendatang baru dengan mudah sekali.

Inilah yang berlaku kepada ZamZam Cola. Ia masuk ke dalam pasaran matang yang berpuluh tahun didominasi oleh C-Cola dan P-Cola. Akibatnya tidak ada pengedar ataupun supermarket yang mahu 'carry' ZamZam Cola dan menghadapi risiko merosakkan bisnes mereka yang sedia ada dengan budak-budak besar itu.


Katakanlah saudara hendak membuka kilang minuman cola, secara teorinya budak-budak besar dapat melakukan bermacam-macam tekanan bagi memastikan kilang saudara tidak dapat beroperasi.

Bagi mengeluarkan produk cola, saudara perlu mengimpot bahan cola. Budak-budak besar boleh menggertak agen pengimpot cola supaya jangan mengimpot untuk saudara. Lagipun, saudara hendak mengimpot berapa ratus tong cola setiap bulan? Berapa puluh ribu tong cola agen itu impot untuk budak-budak besar itu?

Saudara memerlukan botol dan tin, mereka boleh gertak kilang pembuat botol dan tin supaya jangan menjual kepada saudara. Saudara membeli berapa unit botol ataupun tin sebulan? Budak-budak besar itu membeli berapa juta unit setahun?

Saudara perlukan pengedar yang supply supermarket di seluruh negara. Budak-budak besar itu boleh menggertak pengedar-pengedar itu supaya jangan carry produk saudara.

Jika saudara penerbit baru, berapa judul saudara ada? Penerbit yang besar ada berapa judul? Bisnes siapa yang lebih penting dijaga oleh pengedar dan pekedai?

Apabila saudara hendak masuk juga ke dalam sektor yang sudah ada budak-budak besarnya, jangan masuk ikut pintu budak-budak besar itu. Masuk ikut pintu lain.

Ikut strategi 'flanking' yang digunakan oleh Yeo's. Yeo's masuk dengan menawarkan minuman tanpa gas daripada bahan-bahan lokal seperti tebu, teh bunga, kacang soya, cincau dan lain-lain. Minuman lokal dapat dijual menggunakan kotak tetra-pack, bukan botol ataupun tin. C-Cola dan P-Cola tidak menyangka Yeo's mempunyai strategi jangka masa panjang mahu menjadi budak besar ketiga dalam pasaran minuman ringan.

Sesudah bisnes tetra-pack Yeo's hampir sama besarnya dengan bisnes budak-budak besar itu barulah Yeo's mula masuk pasaran minuman dalam botol dan tin.


Apabila saudara hendak masuk ke dalam sektor matang seperti sektor novel cinta, jangan masuk ikut pintu novel cinta. Masuklah ikut pintu buku-buku kategori lain sama sekali. Apabila saudara sudah besar dalam sektor baru itu, barulah saudara memasuki sektor novel cinta.

Dalam surah Yusuf, apabila abang-abang Nabi Yusuf hendak bertolak ke Mesir bagi membeli gandum, ayah mereka, Nabi Yaakub berpesan, "Wahai anak-anakku, jangan kamu masuk ikut satu pintu sahaja. Masuklah ikut pintu-pintu lain."




1 Komen :

At 11:25 PM, Blogger ok Berkata ...

Di harapkan PTS juga akan membongkar dan menerobos pintu-pintu yang kebanyakkannya di bongkar dan diserobos budak-budak kecik.

Ikutkan logik, kalau budak besar menerobos masuk pintu yang biasa diserobos budak kecik, budak kecik akan terkepit.

(tapi kena jaga-jaga juga sebab budak kecik dah tau apa ada dibalik pintu yang diserobos kerana mereka sudah biasa menerobos pintu itu)

 

Post a Comment

<< Home