Thursday, February 23, 2006

Tewasnya Budak Besar Komik Melayu

Topik hangat yang dibincangkan dalam bengkel komik Sdr Zunar pada 19hb Februari lalu adalah kejatuhan majalah komik Gila-Gila daripada tahtanya sebagai majalah humor paling popular pada suatu masa dahulu.

Faktor paling utama yang berjaya menjatuhkan Gila-Gila adalah banyaknya majalah-majalah komik yang kecil-kecil, yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit independent, yang menawarkan genre humor yang serupa dengan apa yang ditawarkan oleh Gila-Gila.

Pelukis-pelukis komik yang diketengahkan oleh Gila-Gila telah keluar satu demi satu, meninggalkan majalah humor itu, dan menjadi penerbit independent. Begitu banyaknya komik humor independent masuk ke dalam pasaran, sehingga akhirnya semua pihak gagal dan menanggung kerugian.

Walaupun waktu itu Gila-Gila sudah besar, namun ia tidak berupaya melawan komik-komik kecil yang begitu banyak. Komik-komik kecil itupun akhirnya mati disebabkan mereka bukan hanya perlu berlawan dengan Gila-Gila, malah mereka perlu berlawan sama sendiri. (Baca blog Kalamtimur untuk sejarah ringkas kebangkitan dan kejatuhan komik Melayu.)

Trend yang sedang berlaku sekarang dalam pasaran novel cinta ada persamaannya dengan apa yang pernah berlaku kepada Gila-Gila.

Fenomena penulis-penulis novel cinta, yang menjadi popular kerana diketengahkan oleh Creative dan Alaf21, keluar dan menjadi penerbit independent sedang menyebabkan berulangnya pengalaman Gila-Gila ke atas Creative dan Alaf. Maklumat pasaran menunjukkan kehadiran mereka sudah pun dapat menyebabkan turunnya jumlah cetakan pertama novel-novel Creative, Alaf21, Utusan, Rythm dan Times.

Dalam dunia penerbitan lokal, gosip sedang tersebar bahawa seorang lagi nama besar dalam novel cinta akan menjadi penerbit independent. Dikatakan sekumpulan penulis lain daripada sebuah penerbit besar sudah menyerahkan novel-novel baru mereka kepada nama besar itu.

Dalam menghadapi senario seperti ini, apakah yang sebaiknya dilakukan oleh NB Kara, Media Intens, KakiNovel dan KarnaDya? Mereka berempat bukan hanya perlu berlawan dengan Creative dan Alaf21, mereka perlu berlawan dengan Utusan, Rythm, Times dan lain-lain penerbit kecil.

Kejatuhan Gila-Gila menyebabkan tidak ada lagi Budak Besar yang mampu memimpin industri komik Melayu. Akibatnya, pintu industri komik Malaysia terbuka luas kepada kemasukan komik-komik impot. Kini komik-komik Melayu bukan hanya berlawan sesama sendiri, mereka harus berlawan dengan komik-komik impot.

Walaupun kita masih dapat membaca komik-komik tempatan, namun gaya persembahan komik-komik itu meniru bulat-bulat komik impot, suatu fenomena yang tidak menawarkan keuntungan kepada nilai-nilai kebudayaan Melayu. Kita menanggung dua kekalahan sekarang, kalah bisnes dan kalah budaya.

Demi kepentingan ekonomi dan budaya nasional, industri buku Melayu memerlukan kewujudan Budak-budak Besar bagi tiap-tiap kategori produk. Tanpa kehadiran Budak Besar, tidak ada pihak yang mempunyai kekuatan menentang dan menepis serangan budak-budak lari luar negara.

Kebangkitan Creative dan Alaf21 dalam pasaran sastera popular dan novel cinta remaja telah berjaya menyekat serangan novel-novel cinta terjemahan dari Barat, yang mengandungi unsur-unsur budaya Barat yang dapat mempengaruhi secara negatif akhlak pembaca.

Para penerbit Melayu yang sudah besar perlu berfikir dengan menggunakan Jiwa Besar, jika tidak kita akan dibunuh oleh budak-budak kita sendiri. Mereka pun belum tentu dapat menjadi Budak Besar yang mampu memimpin industri penerbitan Melayu.

Apakah faktor yang mendorong pelukis-pelukis komik Melayu dan penulis-penulis novel cinta lari daripada Creative dan Alaf21, lalu menubuhkan syarikat sendiri? Trend ini mesti dibendung, kerana trend beginilah yang telah membunuh Gila-Gila.



2 Komen :

At 10:40 PM, Blogger LELASARI Berkata ...

masalahnya bila orang kita bila menjadi budak besar tetapi tidak mahu memikul tanggungjawab menjaga kebudayaan melayu (tidak kira apa bidang pun)...

dulu orang melayu banyak menjadi budak besar tetapi masih mendukung budaya barat (politik, pendidikan, kejuruteraan....) dan bila semuanya telah jatuh baru lah nak memikul & memertabatkan budaya melayu & islam ... ianya sudah terlambat ....apabila sesuatu kaum tidak dapat memikul tanggungjawab yang diberikan kepadanya, tugas itu akan diserahkan kepada kaum yang lain....

 
At 12:01 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

mesti ada sebab yg tersangat2 kukuh mengapa penulis2 di syarikat besar sanggup keluar menerbitkan syarikat sendiri. bukan senang utk keluar dan menubuhkan syarikat sendiri. mereka terpaksa bermula dari titik pertama. bukan itu sahaja, mereka sedar mereka terpaksa berhadapan dgn syarikat2 yg besar. tetapi, mengapakah mereka sanggup sampai begitu sekali? pasti ada sebab yg tidak kita ketahui.... mungkin segalanya berpatah balik kepada pihak yg 'besar' itu...

 

Post a Comment

<< Home