Buku Baru ataupun Buku Ulangcetak?
Entri ini membincangkan bisnes buku-buku umum, bukan novel cinta!
Jika saudara menjadi penerbit kecil, modal operasi saudara juga kecil. Lazimnya cetakan pertama saudara adalah antara 1500 hingga 3000 naskhah, bergantung kepada jenis buku. Apabila stok sudah habis, saudara akan ulangcetak buku itu dari waktu ke waktu.
Salah satu dilema yang saudara akan alami adalah membuat keputusan tentang judul mana yang harus dicetak dahulu – buku judul baru ataupun buku judul ulangcetak?
Jika saudara cetak judul baru, saudara belum pasti bagaimana sambutan pembeli kepada judul itu. Mungkin laku banyak, mungkin tidak. Mungkin untung banyak, mungkin rugi banyak.
Jika judul baru itu laku, buku itu laju keluar dari setor saudara. Dalam tempoh 6 bulan saudara dapat menjual semua 3000 naskhah yang dicetak. Aliran tunai saudara terjaga. Kakitangan bahagian editorial seronok sebab prestasi mereka naik, yakni buku yang mereka edit terbit.
Jika judul baru itu tidak laku, selepas 2 tahun saudara mungkin masih mempunyai 2000 naskhah tidak terjual dalam setor saudara. Apa juga judul, kalau selepas 2 tahun masih tersangkut dalam setor, ertinya buku itu tidak dapat dijual lagi.
Jika saudara ulangcetak judul yang pernah terbit, saudara tahu memang permintaan bagi buku itu masih ada sebab agen-agen dan kedai-kedai buku masih membuat pesanan. Kakitangan bahagian jualan seronok apabila saudara mengulangcetak judul itu disebabkan jumlah jualan mereka naik dan pelanggan mereka puas hati buku yang dipesan dapat dibekalkan.
Mengapakah ada kalanya penerbit tidak mengulang cetak buku yang sudah tidak ada dalam pasaran, walaupun permintaan masih ada?
Sebuah penerbit besar yang sudah berusia 37 tahun, cuma mengulang cetak judul-judul yang menerima pesanan dari kedai-kedai buku lebih daripada 400 unit. Jika kurang daripada itu, judul tersebut tidak diulangcetak. Mengapa?
Jumlah 400 itu adalah indikator populariti sesuatu judul buku. Judul-judul yang sudah habis dalam stok tetapi masih menerima pesanan lebih daripada 400 unit bermakna judul itu popular dan boleh diulangcetak sebanyak 2000 naskhah lagi dan semuanya dapat dijual dalam tempoh 2 tahun.
Jika pesanan kurang daripada 400, permintaan bagi judul itu masih ada, tetapi berisiko jumlah permintaan yang sebenar adalah kurang daripada 2000 naskhah. Jika saudara cetak juga judul itu, saudara tidak akan dapat menjual semua 2000 unit itu dan saudara tersangkut dengan masalah stok tidak laku. Dari sudut akaunting, stok yang tidak laku adalah ASET syarikat, oleh itu dikenakan cukai! Sudahlah buku tidak laku, saudara kena bayar cukai lagi!
Judul-judul ulangcetak yang popular sekalipun, ia bergerak keluar setor lebih perlahan, oleh itu dari sudut pusingan modal, buku-buku ulangcetak tidak berapa menguntungkan, malah berisiko. Kalau memang saudara tidak mempunyai judul baru yang hendak dicetak, bolehlah saudara mengulang cetak judul lama, daripada tidak ada langsung.
Bagi judul-judul baru, lazimnya 2000 unit dapat dihabiskan dalam tempoh 6 bulan hingga 1 tahun. Bagi judul ulangcetak, ia mungkin mengambil masa 3 tahun.
Jadi, jika di atas meja saudara ada senarai judul-judul yang hendak dihantar ke pencetak, yang manakah yang akan saudara hantar – judul baru ataupun judul ulangcetak?
Dengan modal operasi yang kecil, keputusan saudara memilih judul yang akan dihantar ke pencetak adalah keputusan yang kritikal.
Banyak penerbit kecil tutup kedai dalam tempoh 3 tahun selepas memulakan bisnes disebabkan stok yang tidak bergerak dalam setor. Stok itu mungkin stok judul baru yang tidak laku, ataupun stok ulangcetak yang terlebih cetak.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home