Gaya Bahasa Realistik: Prinsip Surah Yusuf
Falsafah realisme sudah hampir 100 tahun bertapak, dan pengaruhnya semakin besar dalam dunia TV, dan ia disebarkan melalui produk-produk realiti show.
Ciri utama karya TV realiti kontemporari adalah produk-produk itu dihasilkan tanpa menggunakan skrip bertulis untuk dihafal dan ucapkan oleh watak-wataknya. Sebaliknya, skrip diserahkan bulat-bulat kepada apa-apa sahaja yang diucapkan oleh para pelakon. Maka terciptalah produk-produk realiti show itu. Bahasa dalam produk-produk itu adalah bahasa realiti. Kalau pelakon-pelakon itu menggunakan bahasa kaki lima, maka bahasa kaki lima itulah yang disiarkan.
Bagaimanakah pendirian teori sastera Islami dalam isu bahasa aliran realisme?
Surah Yusuf diturunkan dalam bahasa Arab. Bahasa Arab yang digunakan dalam surah Yusuf itu mempunyai dua ciri utama:
Bahasa langgam tinggi
Langgam bahasa yang digunakan bagi menyampaikan kisah Nabi Yusuf itu adalah seluruhnya bahasa Arab Tinggi, baik bagi ayat-ayat naratif mahupun bagi ayat-ayat dialognya. Bahasa Arab langgam tinggi itulah yang menjadi bahasa penghuni syurga.
Bukan bahasa seharian
Meskipun langgam bahasa Arab dalam surah Yusuf itu difahami oleh orang-orang Arab waktu itu, tetapi langgam bahasa surah Yusuf itu bukan langgam bahasa Arab rendah yang dipertuturkan dalam kehidupan harian mereka. Dalam erti kata lain, sewaktu surah Yusuf diturunkan, orang-orang Arab pada zaman Nabi Muhammad tidak bercakap begitu dalam kehidupan seharian mereka. Bahasa Arab harian itu bukanlah bahasa yang digunakan di syurga nanti.
Teori sastera Islami memilih langgam bahasa tinggi, baik bagi menghasilkan ayat-ayat naratif mahupun ayat-ayat dialog. Inilah posisi yang menjadi pegangan teori sastera Islami pada saat kita berdepan dengan fahaman realisme dalam isu bahasa.
Jadi, langgam bahasa yang digunakan dalam dapur rumah, dalam kebun sayur, dalam kilang, dalam lagu-lagu rap, dalam TV realiti, di pasar-pasar malam, di supermarket, di coffeehouse, di kaki lima kedai, dalam teksi dan LRT, tidak diterima oleh teori sastera Islami.
Contoh bahasa rendah yang dihasilkan oleh pengarang yang menganut falsafah realisme:
“Fadzly? Ya Allah mama! Lelaki tulah yang duduk sebelah Yana dalam kapal terbang! Kami berbual panjang. Masa kami berbual, dia tiba-tiba je cakap yang dia sakit kepala. Serangan migrain katanya. Yana pun terus ke belakang dan cari pramugari bertugas. Yana ambilkan ubat painkillers untuk dia. Mungkin waktu Yana ke belakang tu, dia masukkan pistol dan bom ke dalam beg Yana.” Yana benar-benar terkejut. Dia tidak menyangka lelaki yang raut wajahnya begitu baik, sebenarnya seorang penjenayah.
“Itulah Yana. Lain kali bagi tau mama ke mana Yana nak pergi. Selamatlah wakil dari Syarikat Impiana Sdn Bhd telefon mama. Mereka yang kendalikan semua urusan untuk bebaskan Yana dari kes ni. Mmmmh... Syarikat Impiana tu nama syarikat agensi pelancongan yang uruskan percutian Yana ke Bali ke?” mama memandang tepat ke arah Yana. Mahukan kepastian.
Salah satu sikap pengarang yang menganut fahaman realisme itu dapat disimpulkan melalui hujah yang bunyinya begini, "Tapi itulah realiti. Memang orang Melayu bercakap begitu!"
Maka inilah pendirian sastera Islami: Sastera Islami tidak menjadi pengikut kepada realiti.
Pengarang, sasterawan dan cendekiawan Islam berdiri di depan orang awam. Mereka mencipta keindahan dan mengepalai trend, bukan menjadi bahagian ekor pada trend realiti rendah yang dicipta orang orang awam yang bukan pakar ilmu ataupun pakar bahasa.
Orang-orang yang berada di kaki-kaki lima bukan ahli bahasa, maka pengarang tidak selayaknya menjadi pengikut kepada bahasa pekaki lima. Langgam bahasa yang digunakan dalam surah Yusuf bukan diangkat daripada langgam bahasa kaki lima.
4 Komen :
Bahasa Al-Quran merupakan bahasa Arab ragam tinggi. Bahasa Arab ragam tinggi itulah bahasa Arab pilihan Tuhan, bukan sembarangan bahasa, tetapi yang beragam tinggi!
Bahasa Melayu pun ada bahasa Melayu ragam tinggi, iaitu bahasa Melayu BAKU yang bukan "diangkat dari kaki-kaki lima" (meminjam kata-kata Pn. Ainon - boleh pinjam, Pn.?) atau "bahasa belacan" (meminjam kata-kata arwah Pak Asraf). Oleh itu, bahasa Melayu BAKU harus menjadi pilihan , terutamanya dalam situasi formal dan lebih-lebih lagi dalam tulisan.
Dalam sastera, yakni genre novel, cerpen, hatta puisi sekalipun, bahasa Melayu BAKU wajib digunakan. Contoh yang dipetik Puan Ainon, "Lain kali..." boleh ditulis sebagai "Lain kali beritahu mama Yana hendak ke mana" - baku dan rasanya lebih menarik. Inilah yang dikatakan manipulasi bahasa, tetapi dapat dilakukan hanya setelah benar-benar menguasai tatabahasa (aspek boring tapi wajib dipelajari dan dikuasai).
Dalam dialog bolehlah juga dikecualikan bahasa baku untuk menunjukkan realiti sebenarnya, tapi yang lain daripada dialog MESTI bahasa BAKU. Bahasa asing (ramuan bahasa rojak) haram sama sekali, kecuali ditulis condong, itupun dalam dialog saja. Wallahualam.
Sdr Suhaimi, adakah tuan ini Sdr ORAET! alias Emio?
Tanpa kekecualian, seluruh surah Yusuf, ditulis menggunakan ragam tinggi, apakah ayat itu ayat naratif mahupun ayat dialog.
Bukan, saya bukan Sdr. Oraet alias Emio, dan tak perlulah bertuan dengan saya.
Saya tidak tahu adakah surah Yusuf itu bentuknya naratif atau dialog kerana saya bukan pakar dan tidak arif berbahasa Arab (apatah lagi yang beragam tinggi). Tapi saya 100% pasti bahawa bahasa Arab dalam surah Yusuf itu, baik naratif mahupun dialog beragam tinggi kerana saya yakin akan kesempurnaan pilihan Tuhan. Itulah kelebihan Al-Quran dari sudut bahasanya. Mudah, tepat, indah, dsb. penggunaan kata-kata dan kalimahnya untuk menyampaikan mesej yang mulia lagi tinggi tapi dapat difahami oleh umat manusia seluruhnya.
Walau bagaimanapun, kalau saya rujuki terjemahannya dalam bahasa Melayu yang ada beberapa banyak di pasaran, memang ada naratif dan ada dialog.
Sebaik-baiknya, naratif dan dialog hendaklah menggunakan bahasa Melayu ragam tinggi@baku. Tapi dialog boleh dikecualikan kerana kalau ditulis dengan bahasa baku, tampak kaku. Wallahualam.
Orang ramai sering kali mempersoalkan golongan Borneo terutamanya Sabah berbahasa baku. Apatah lagi warga Indonesia. Terfikir sejenak bagaimana bahasa ibunda diwariskan.
Post a Comment
<< Home