Friday, November 24, 2006

Kredit Kontrol

Pengurusan risiko adalah sangat penting bagi orang bisnes. Banyak bisnes bankrap disebabkan kita terlampau hendak menjual lalu kita jual, jual, jual. Kemudian kita tidak dapat mengutip hutang.

Adakah saudara penerbit baru? Hati-hati dengan apa yang disebut credit control.

Salah satu mentaliti orang yang baru membuka bisnes adalah dia sangat yakin apa yang dijual akan dapat dikutip hutangnya. Akibatnya dia langsung tidak mengamalkan apa yang disebut kredit kontrol.

Apabila hendak melaksanakan dasar-dasar kredit kontrol, perkara yang paling penting saudara mesti tahu adalah berapa banyak kredit yang saudara sanggup berikan kepada agen dan pengedar. Jangan main beri sahaja, meskipun pengedar itu pengedar besar dan terkenal.

Apabila saudara sudah tetapkan jumlah kredit itu, pastikan jangan langgar jumlah tersebut. Ada masanya salesman saudara diam-diam melanggar jumlah itu disebabkan dia hendak mencapai target jualannya.

Jadi setiap minggu saudara mesti semak data kredit setiap agen saudara bagi memastikan jumlah yang ditetapkan dipatuhi.

Kedua, tetapkan apakah saudara perlu meminta cagaran seperti deposit. Penerbit-penerbit besar lazimnya meminta deposit. Kalau saudara masih kecil, ini sukar dilaksanakan sebab pengedar takkan mahu membayar deposit.

Saudara perlu melantik seorang pegawai kredit. Tugasnya adalah menguruskan kredit syarikat. Dialah yang kerjanya menagih hutang, justeru telinganya mesti tebal.

Pegawai kredit sangat digeruni (baca, dibenci) oleh agen dan pengedar! Dia berkuasa menahan buku daripada dihantar kepada mana-mana agen dan pengedar selagi agen itu tidak menjelaskan hutangnya lebih dahulu.

Di PTS, kedua-dua orang pegawai kreditnya adalah wanita! Hmm….

Jangan serahkan tugas menjual dan mengurus kredit kepada salesman. Salesman bertugas membuat sales. Pegawai kredit memastikan jumlah kredit adalah terkawal.

Apabila agen saudara tidak membayar hutang, hantar surat peringatan: surat pertama, kedua dan ketiga. Selepas itu baru hantar surat peguam. Prosedur ini mesti dilakukan bagi mematuhi peraturan audit dan sekiranya saudara perlu menyeret agen saudara itu ke mahkamah kemudian.

.

.