Tuesday, August 02, 2005

Judul Laku

Dalam isu memilih judul buku yang hendak saudara tulis, apabila saudara berfikir menggunakan logik yang serupa dengan logik penerbit, ia membawa keuntungan yang banyak bagi kedua-dua pihak.

Penulis-penulis baru lazimnya tidak faham logik penerbit. Sebagai contoh, penulis baru cuba menulis buku yang temanya belum ada dalam pasaran. Tetapi penerbit mencari buku yang temanya popular dalam pasaran.

Seorang penulis menghantar karyanya yang bertajuk 'Senjata-senjata Tradisional Masyarakat Melayu'. Katanya, "Buku seperti ini belum ada dalam pasaran."

Logik orang biasa mengatakan, kalau sesuatu tajuk itu tidak ada, itu bermakna peluang buku itu dibeli orang adalah lebih baik disebabkan buku itu tidak ada persaingan. Sebaliknya logik penerbit mengatakan, kalau tajuk itu tidak ada, jangan-jangan itulah tandanya tidak ada penerbit yang mahu menerbitkan tajuk seperti itu kerana mereka percaya tajuk itu tidak laku.

Apabila sesuatu tema itu banyak dalam pasaran, itu bermakna banyak penerbit menerbitkan buku-buku yang temanya serupa. Walaupun mereka bersaing sesama mereka tetapi tema itu tema yang popular dan evergreen. Mereka cuba menang bersaing dengan menerbitkan buku masing-masing dengan wajah kulit dan gaya olahan yang lebih digemari oleh pembaca.