Tuesday, August 02, 2005

Panduan Memilih Penerbit

Apabila saudara sudah siap menulis buku, kepada penerbit manakah hendak saudara kirimkan manuskrip saudara?

Berikut adalah beberapa tip memilih penerbit:

1. Setiap penerbit menerbitkan jenis-jenis buku tertentu sahaja. Pilih penerbit yang aktif menerbitkan buku sejenis dengan karya saudara itu. Sebagai contoh, kalau saudara menulis buku motivasi menjadi jutawan, saudara boleh cuba penerbit Al-Ameen. Kalau saudara menulis novel kisah masyarakat, saudara boleh cuba penerbit Creative.

2. Bagi mengelakkan saudara menjadi mangsa penerbit, hubungi penulis-penulis lain. Tanya mereka bagi mendapatkan maklumat berkenaan tingkah laku sesuatu penerbit itu. Mereka mungkin tahu gosip-gosip tentang penerbit yang kredible dan tidak kredible. Itulah sebabnya saudara patut masuk mana-mana persatuan penulis sebab dalam persatuan itu ada penulis-penulis yang sudah lama berpengalaman dan banyak kenalan. Mereka adalah sumber gosip yang berguna apabila saudara hendak mencari maklumat tentang sepak terajang penerbit-penerbit buku. Dalam pelbagai acara perhimpunan penulis, saudara berpeluang berkenalan dengan mereka. Jangan segan, tanya sahaja, dengan senang hati mereka akan memberikan maklumat yang mereka tahu.

3. Hantar manuskrip saudara kepada penerbit yang terkenal dahulu, jika ditolak baru hantar kepada penerbit yang kurang terkenal. Jika ditolak juga, baru hantar kepada mana-mana penerbit yang sudi menerima manuskrip saudara untuk diterbitkan. Semakin tidak terkenal sesuatu penerbit itu semakin tinggi risiko yang saudara ambil.

Di PTS, mereka hanya menerbitkan buku-buku yang memenuhi kriteria PTS. Jadi saudara mesti masuk kursus penulisan PTS sebelum menuliskan buku saudara bagi diterbitkan oleh penerbit itu.