Friday, August 05, 2005

Seni Mencipta Judul Buku

Apabila saudara sudah siap menuliskan buku saudara, tibalah masanya memilih judul bagi buku saudara itu. Judul yang baik akan diterima oleh editor saudara.


Judul mesti kena terus kepada pembeli sasaran. Mula-mula ingat kepada siapa buku itu ditujukan. Katakanlah buku itu adalah berkenaan komunikasi interpersonal. Tetapi siapakah yang akan menggunakan buku itu: Guru? Ibu bapa? Isteri? Pekerja Pejabat? Ketua? Remaja?


Tajuk “KOMUNIKASI INTERPERSONAL” adalah terlalu am. Tajuk ini sesuai untuk buku teks. Ia tidak sesuai untuk tradebook, yakni buku yang dijual di kedai. Jikalau buku itu ditujukan kepada guru-guru, tajuk “KOMUNIKASI INTERPERSONAL UNTUK GURU” adalah lebih tepat. Jika buku itu ditujukan kepada remaja, tajuk yang sesuai adalah “KOMUNIKASI INTERPERSONAL UNTUK REMAJA”.


Tajuk tidak boleh menggunakan perkataan yang membawa makna negatif. Tajuk yang berbunyi “PANDUAN MENGATASI MASALAH RUMAH TANGGA” menggunakan perkataan negatif iaitu 'masalah'. Tajuk yang positif adalah “PANDUAN MENGEKALKAN KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA”.