Monday, March 27, 2006

Buku Melayu dan Sewa Superstore Buku

Menurut satu sumber, sewa ruang kedai di kompleks membeli-belah Midvalley adalah RM16 satu kaki persegi, manakala di KLCC adalah RM23. Menurut sumber itu lagi, kadar sewa itu akan dinaikkan lagi.

Apabila kita perhatikan rak-rak dalam kedai buku elitis, nilai harga buku-buku impot yang diletakkan pada rak buku boleh naik sehingga antara RM600 hingga RM1000 bagi setiap kaki.

Berapakah nilai harga buku-buku Melayu yang mengisi ruang yang sama?

Maklumat ini berguna kepada para penerbit buku tempatan yang mahu membekalkan buku-buku terbitannya kepada operator rangkaian kedai-kedai buku yang ada dalam kompleks-konpleks membeli-belah bandar utama.

Jika penerbit mahukan buku-buku Melayu dijual dalam kedai-kedai buku seperti MPH dan Kinokuniya, maka perolehan daripada jualan buku-buku Melayu mestilah membolehkan pihak pengurusan membayar sewa ruang lantai yang digunakan bagi meletakkan rak-rak buku Melayu.

Ada dua strategi bagi membolehkan buku-buku Melayu masuk kedai-kedai buku dalam kompleks elitis.

Pertama, harga jualannya dinaikkan semahal harga buku-buku impot. Ini tidak mustahil dilakukan. Buku terjemahan DaVinci Code yang diimpot dari Indonesia terjual di Kinokuniya dan Popular pada harga yang lebih tinggi daripada harga novel tempatan. Buku-buku A. Samad Said terbitan Wira Bukit yang diedarkan oleh PTS dapat dijual dalam MPH meskipun harganya tinggi.

Kedua, buku-buku Melayu itu boleh dijual pada harga sederhana seperti sekarang, tetapi jualannya mestilah lebih banyak. Ini yang berlaku pada novel-novel sastera pop Creative dan novel cinta Alaf21.

Ruang dalam kedai buku bukan setor simpanan buku-buku Melayu yang tidak laku. DBP dan ITNM perlu disedarkan akan hal ini supaya kedua-dua institusi buku negara itu mengubah pola fikir dan cara kerja mereka.

Antara faktor-faktor yang menyebabkan buku-buku Melayu terbitan DBP dan ITNM tidak terdapat dalam kedai-kedai buku elitis adalah disebabkan buku-buku mereka tidak dipakejkan dengan cara-cara yang betul.

Rupa wajah buku-buku DBP dan ITNM tidak menarik, oleh itu tidak membantu MHP dan Kinokuniya mendapatkan perolehan jualan tinggi bagi membolehkan pihak pengurusan kedua-dua superstore itu membayar sewa yang tinggi.