Kos Sosial Menjadi Penerbit
Adakah saudara seorang pengarang terkenal dan sedang berfikir-fikir hendak menerbitkan karya saudara sendiri?
Dalam hidup ini, menjadi apa sekalipun ada kosnya. Tidak menjadi apa-apa pun ada kosnya, malah lebih besar kosnya. Oleh itu, kita pilihlah kos apa yang kita sanggup tanggung dan kos apa yang kita tidak sanggup tanggung.
Jika saudara terus menghantar karya saudara kepada penerbit, ada kosnya, yakni saudara membantu orang lain membuat keuntungan dengan memperdagangkan karya-karya saudara. Ertinya saudara terpaksa berkongsi keuntungan, dan saudara tidak dapat mengaut semua keuntungan itu untuk diri sendiri.
Jika saudara terbitkan sendiri, saudara lebih banyak buat duit sebab saudara mendapat royalti dan saudara juga mendapat margin keuntungan antara kos pengeluaran dan harga jualan.
Tetapi ingat, jika saudara terbitkan sendiri buku-buku saudara itu, ada kosnya. Salah satu kos itu adalah 'kos sosial'.
Kos sosial adalah kerugian yang tidak melibatkan ringgit dan sen. Jadi, daripada segi bisnes saudara mungkin lebih untung dengan menerbitkan sendiri buku-buku saudara, tetapi daripada segi sosial saudara rugi.
Jika saudara bukan orang yang ternama, menjadi penerbit dapat mencipta nama bagi diri saudara. Tetapi jika saudara adalah seorang yang sangat terkenal, dengan menjadi penerbit kepada buku-buku saudara sendiri, ia boleh menyebabkan saudara mengalami apa yang disebut 'kecederaan sosial'.
Kecederaan sosial melibatkan perkara-perkara seperti imej, status dan maruah saudara pada mata orang lain. Inilah salah satu fenomena yang sedang diperbualkan oleh komuniti industri buku sekarang.
Salah satu gosip yang sedang berpindah dari satu mulut ke mulut lain adalah bagaimana suami kepada salah seorang pengarang terkenal sekarang menjadi “pengutip hutang sahaja” bagi buku-buku isterinya.
Di sini, siapakah yang mengalami kecederaan sosial itu – si pengarang terkenal itu ataukah suaminya, ataupun mereka berdua?
Bagaimanakah caranya saudara dapat menerbitkan sendiri buku-buku saudara dengan tidak mecacatkan imej saudara sebagai pengarang terkenal, serta imej pasangan saudara?
Jadilah penerbit yang full-fledge.
Ambil kakitangan profesional bagi menjalankan tugas-tugas dalam syarikat penerbitan saudara itu. Jangan takut membayar gaji pekerja profesional. Jangan berjimat tidak kena pada tempatnya.
Sesetengah tugas, apabila saudara sendiri yang melaksanakannya, ia mencacatkan imej saudara, manakala sesetengah tugas akan menaikkan lagi imej saudara.
Kenal pasti kerja-kerja yang melibatkan kos sosial, dan ambil pegawai khas bagi menjalankan tugas-tugas itu. Jangan hantar suami ataupun isteri saudara menjadi pengutip hutang, ataupun menjadi drebar saudara ke sana sini membuat kerja-kerja yang mencederakan imej saudara sebagai pengarang terkenal.
1 Komen :
ye..kasi saja pada PTS. Kemudian bantu dari segi promosi.
Dalam dunia ni, kerja itu telah dibahagikan kepada orang-orang yang tertentu untuk kerja masing-masing. Jadi lakukan kerja dalam bidang sendiri. Yang lain, serahkan kepada yang pakar. Tapi perlu ada hubungan antara kerja kita dengan kerja orang.
Post a Comment
<< Home