Saturday, May 13, 2006

Editor dan Rasuah

Seorang penulis novel pernah meminta nasihat apakah beliau perlu membeli buah tangan untuk diberikan kepada editor novelnya. Persoalan itu timbul disebabkan pada hari beliau pergi ke pejabat penerbit bagi mengambil cek royaltinya, si editor berkata, “Takkan tak ada apa-apa!”


Penulis tidak boleh memberi sebarang buah tangan kepada editornya, biar sebanyak mana sekalipun sumbangan editor itu kepada kejayaan bukunya dalam pasaran. Editor memang dibayar oleh syarikat bagi memastikan buku-buku yang dieditnya berjaya dalam pasaran.


Pengurusan syarikat hendaklah memastikan para editornya bersih daripada amalan menerima sebarang bentuk buah tangan daripada penulis. Tindakan tatatertib hendaklah diambil apabila terbukti seseorang editor itu menerima buah tangan daripada penulisnya.


Amalan penulis memberi buah tangan kepada editor bukunya adalah membahayakan kepentingan syarikat disebabkan faktor-faktor berikut:

  1. Pada prinsipnya, apabila editor menerima buah tangan, itu adalah amalan RASUAH. Editor yang rasuah amat berbahaya kepada syarikat.

  2. Buah tangan menyebabkan editor berasa serba salah apabila menerima manuskrip baru daripada penulis yang sama. Sekiranya manuskrip itu tidak layak diterbitkan, si editor malu alah hendak menolak manuskrip itu sebab dia sudah pernah menerima pemberian si penulis. Akibatnya, si editor akan meluluskan manuskrip yang tidak berkualiti.

  3. Pemberian buah tangan merosakkan hubungan baik yang sihat antara editor dengan editor-editor lain. Buah tangan menyebabkan sesama editor saling cemburu mencemburui. Sesama editor menjadi saling curiga-mencurigai, umpat-mengumpat, dan dengki-mendengki. Akibatnya sesama editor tidak mahu tolong-menolong dan tidak mahu memberikan kerjasama kepada penulis yang berada di bawah jagaan editor-editor lain.

  4. Pemberian buah tangan dari penulis menyebabkan masing-masing editor mengamalkan pilih kasih ke atas penulis-penulisnya. Mereka memberikan layanan istimewa kepada penulis yang memberi buah tangan yang mahal-mahal.

  5. Amalan memberi buah tangan menyebabkan editor berasa tidak puas hati dengan penulis masing-masing yang tidak memberi buah tangan mahal, meskipun karya penulis itu laris di pasaran. Malah, sebenarnya, semakin laris karya si penulis, semakin editornya tidak puas hati mengapa buah tangan yang diterimanya tidak mahal.

  6. Amalan itu menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan para penulis. Orang yang tidak puas hati tidak tutup mulut. Mereka bercakap kepada orang-orang lain, dan ini merosakkan imej syarikat.


Para penulis tidak patut berasa bersalah apabila mereka tidak memberi sebarang bentuk buah tangan kepada editornya setiap kali tiba musim pembayaran royalti.


Bagi mengelakkan rasuah, semua cek royalti hendaklah dihantar oleh Jabatan Kewangan terus kepada penulis, bukan diserahkan kepada editor supaya diambil sendiri oleh penulis dari tangan si editor. Amalan ini membuka pintu kepada pelbagai salah urus dan salah guna kuasa.


Bukanlah kerja staf Jabatan Editorial memegang dan menyimpan cek-cek penulis. Membenarkan amalan penulis datang sendiri dan mengambil cek daripada tangan editor bukunya adalah kesalahan kerja pada pihak Jabatan Kewangan.


Buah tangan adalah suatu jenis RASUAH. Orang yang memberi dan orang yang menerima RASUAH sama-sama membahayakan kepentingan syarikat, dan kehadiran mereka tidak diperlukan dalam syarikat.


49 Komen :

At 11:23 AM, Blogger Wan A. Rafar Berkata ...

satu peringatan (atau amaran) kepada para penulis untuk mengekalkan masyarakat bersih, ikhlas sesuai dengan tuntutan islam.

 
At 11:30 AM, Blogger Latiptalib Berkata ...

pada pendapat saya perlu wujud hubungan baik antara penulis dengan editor tetapi jangan sampai merugikan syarikat.

dengan adanya hubungan baik itu dapat menyelesaikan masalah terutama berkaitan dengan buku yang hendak diterbitkan.

memang tidak dapat dinafikan editor memainkan peranan penting dalam penerbitan buku atau novel. manuskrip yang baik menjadi lebih baik bila ditangani oleh editor yang baik. begitu sebaliknya.

katakanlah, sesebuah novel itu laris di pasaran dan penulisnya menerima royalti hingga beratus ribu ringgit. apa kata editor yang turut bertanggung jawab melariskan buku itu jika penulisnya berlagak sombong setelah mendapat royalti yang banyak?. lebih teruk jika penulis marahkan editor kerana menokok tambah atau mengedit manuskrip tersebut.

sebagai penulis kita kena jaga juga perasaan editor. rasanya tidak salah kalau jumpa editor kita ucapkan terima kasih kerana dia bertanggung jawab melariskan buku kita.

 
At 12:12 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Puan Ainon, saya sokong apa yang puan perkatakan sebab saya memang tahu ada penulis yang membelikan hadiah mahal kepada editornya bila sudah terima wang royalti buku pertama. Tapi saya tengok buku kedua dan ketiga penulis itu memang tidak ada kualiti, macam buku orang baru belajar menulis novel saja, tapi terbit juga. Sedangkan ada buku penulis baru yang lebih baik, tapi tak terbit-terbit, asyik tangguh, tangguh, tangguh. Tahniah sebab puan berani menulis tentang perkara ini.

 
At 12:30 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Saya pernah bekerja dengan sebuah penerbit buku-buku sekolah. Bukan perkara luar biasa penulis yang menerima banyak royalti membelanja editornya makan sedap di hotel, tapi supaya tidak dipandang serong, dia jemput semua orang dalam jabatan itu makan (lunch) termasuk kerani dan office boy. Dia minta izin dari manager dulu untuk membelanja semua staf. Saya rasa kalau macam itu, ia tidak membahayakan syarikat sebab dia cuma belanja makan saja, dan semua dibelanja. Tak ada apa-apa yang disorok2. Yang hanky-panky yang sebenarnya rasuah.

 
At 1:54 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Wah, macam2 cerita dah keluar ni puan... saya pun nak tumpang cerita pengalaman saya. Editor saya ni minta pinjam duit, katanya dia tak cukup duit nak bayar roadtax. Nak bagi saya rasa salah, tak bagi saya takut lain kali dia tolak buku saya. Macam mana tu Puan? Itu pun rasuahkah?

 
At 2:10 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Puan Ainon, boleh saya bertanya. Puan berani tulis tentang editor yang rasuah adakah puan yakin editor2 PTS tak ada yang terima apa-apa hadiah dari penulis? Saya memang tak ada bukti, tapi manalah tahu? Harap-harap editor PTS betul-betul buat kerja secara profesional, tak ada pilih kasih.

 
At 2:57 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Kepada peminat buku PTS, saya rasa kekhuatiran sdr tu tidak berasas. Kalau sdr tak ada bukti, janganlah rasa ragu, tentu kecil hati editor2 PTS tu. Buku-buku saya diterbitkan oleh PTS. Saya tidak pernah memberi apa-apa hadiah kpd editor cukup dengan hantar sms terima kasih sahaja. Sebuah lagi buku saya sedang dalam proses penerbitan sekarang. Saya yakin PTS akan terus menjadi penerbit yang bersih dari segala aspek negatif. Tahniah kepada Sifu dan semua kakitangan PTS kerana berjaya menjadi penerbit yang amat profesional.

 
At 3:05 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Puan Ainon,

Macam yang Fakrul tulis itu memang benar2 terjadi. Dalam kes saya, cek royalti belum saya terima, editor saya sudah kira2 berapa jumlahnya, dan dia hint2 pada saya. Habis tu, terpaksalah belikan hadiah. Kalau setahun sekali, ok lagi, kalau setahun berkali-kali, hati kita pun rasa tak seronok, tapi apa nak kata? Dia durian, kita timun....

 
At 3:40 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Tak sangka, ingatkan polis saja pau orang kecik, rupa-rupanya editor pun pau penulis? Ish ish, dah nasib penulis di Msia yg cemerlang, gemilang dan terbilang!

 
At 3:54 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Puan Ainon, perkara ini membuat saya hilang semangat hendak menulis. Adakah editor rasuah ini ada di semua penerbit? Atau cuma di penerbit kecil sahaja. Macam mana saya nak tahu penerbit mana yang editornya rasuah? Adakah editor buku2 agama pun terlibat?

 
At 4:03 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Ini satu lagi cerita betul. Ada editor minta penulis gantikan empat2 tayar keretanya yang dah botak!!!

 
At 4:26 PM, Blogger Latiptalib Berkata ...

saya pernah menulis di beberapa buah penerbitan antaranya utusan, karangkraf, DBP dan estiew. tidak pernah pula terjadi editor minta rasuah. kerana itu saya tak percaya ada editor yang tergamak sampai minta tukar tayar kereta kepada penulis.

kalau benar terjadi elok buktikan sebab perkara itu telah didedahkan. kalau tidak orang akan kata saja nak membuat tuduhan.

lagi satu tidak timbul soal timun dan durian. kalau manuskrip baik dan bermutu jika ditolak oleh satu penerbit boleh hantar ke tempat lain.

 
At 4:44 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

saya rasa hal ini wujud. khasnya di penerbitan swasta yang besar. penerbit seperti dbp - buku tak laku...jadi penulis tak ada duit nak rasuah. dan ini satu lagi cerita rasuah dalam dunia perbuku. dengarnya, tak lama lagi teks sastera akan dimasukkan dalam pengajaran di sekolah rendah. dan dengarnya juga...yang karya dan novel yang dipilih itu..entah siapa penulisnya. tak berkualiti. dan dalam masa yang sama, sudah ada penerbit yang berjumpa dengan pihak yang memilih..dengan beberapa habuan, suapa novel terbitan mereka dijadikan teks untuk sekolah..aduhai malangnya dunia perbukuan tanah air...

 
At 4:56 PM, Blogger Latiptalib Berkata ...

hehe biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya.

 
At 5:51 PM, Blogger Unknown Berkata ...

Alahai, puan. En.Panah dah janji nak belanja saya dan kawan2 sebab buku KOle KAcangnye sold-out. Tapi buku En.Panah yang saya edit tetap saya cantas habis-habisan. Itu masih dikira rasuah ke? Alahai... macam mana ni?

 
At 8:23 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Alahai! Penulis DBP macam mana nak rasuah editor, buku 6 tahun pun masih tak terbit, sampai 3 kali tukar editor, pun belum jugak terbit. Penulis2 yang rasuah editor tu sebab dia banyak dapat royalti, sampai puluh2 ribu. Apa salahnya belikan editor handbag jenama mahal? DBP tak reti jual buku, macam mana penulis nak dapat banyak royalti. Ada sesiapa tahu emel Dato Johan, kita nak tulis direct padanya. Khabarnya dia tu action oriented...

 
At 8:37 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Hmm... 6 tahun belum terbit, tu belum pecah rekod... buku ayah saya 11 tahun baru terbit. Alahai DBP, ketua pengarah keluar masuk, DBP macam tu gak... pasal ayah saya tak bagi rasuah kot.

 
At 9:40 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Tumpang lalu, Puan Ainon.

Pak Latip & Pak Fakrul,
Editor memang powerful! Sesiapa yang tak pandai rasuah dan ampu editor, memang teruk.... tengok sajalah nasib sasterawan negara macam A Samad Said tu, sampai dia mogok sastera terhadap DBP. Ada ke patut?

 
At 9:55 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

sdr fakrul, alhamdulillah saudara baik sangka pada saya.

dengan DBP novel saya ada juga terbit walaupun saya tak pernah jumpa editornya. setahu saya manuskrip yang hendak diterbitkan oleh DBP dinilai dulu oleh pihak ketiga (orang luar). kemudian dibawa ke mesyuarat.kalau manuskrip itu tak lulus maka tak akan diterbitkan. dengan arti kata lain kuasa menerbitkan buku atau novel bukan terletak kpd editor. mungkin itu salah satu sebab kenapa lambat terbit.

setahu saya penerbit swasta juga kuasa menerbitkan novel bukan terletak 100% di tangan editor. mereka juga ada pihak yang menilainya.

 
At 10:49 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Nampaknya perbincangan tambah menarik. Tentang penilai luar tu, hahaha.... ada editor pilih penilai yang ngam dengan dia saja, kemudian dia suruh penilai tulis yang baik-baik saja pasal buku tu, sebab si editor tu memang hendak terbitkan buku penulis tuh! Ini semua cerita kong-kali-kong pun ada!!

Yang dikatakan penilai luar DBP tu pun belum tentu layak menilai. Takkan tak ingat cerita DBP pernah tolak "Ranjau Sepanjang Jalan" sebab katanya tak mencapai taraf DBP. Koleksi sajak2 Masuri SN pun DBP pernah tolak!

Pak Latip takkan tak tahu politik penilai2 luar. Kalau member punya, dia nilai cara lain, kalau bukan member punya, lain pulak caranya.

Ada satu kes, penilai pertama tak luluskan, editor pendam laporan tu, kemudian buku tu dihantar pd penilai lain pulak yang bukan bidangnya, baru lulus!!

Macam-macam ada.....

 
At 12:10 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Tidak semua penerbitan swasta bermasalah begini. Editor saya tidak meminta apa-apa, dan saya tidak memberi apa-apa, tetapi novel saya mendapat keutamaan berbanding penulis lain.

Mungkin Puan Ainon patut menyenaraikan editor + syarikat mana yang berlaku sebegitu; jadinya tidak wujud prasangka semua penerbitan swasta dilanda masalah ini.

 
At 12:32 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Saya syorkan pengurusan syarikat penerbit menyenaraikan etika bagi profesion editor buku. Sebutkan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan oleh editor.

Contoh:

1. Editor tidak boleh menilai bukunya sendiri untuk diterbitkan oleh syarikat di mana dia bekerja. Kalau tidak dia terbitkan bukunya sendiri yang belum tentu ada kualiti. Itu salah guna kuasa namanya.

2. Editor tidak boleh menjalin hubungan asmara dengan penulisnya sendiri.

3. Editor tidak boleh pergi holiday dengan penulisnya.

4. Editor tidak boleh menerima hadiah harijadi dari penulis.

5. Editor tidak boleh menilai buku yang ditulis oleh kaum keluarganya sendiri.

Senarai ini boleh ditambah.....

Bila etika itu ada barulah adil tindakan tataterbit diambil ke atas mana-mana editor yang melanggar etika itu.

Wallahualam.

 
At 1:53 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Mmmm.... bab editor nilai bukunya sendiri dan terbitkan bukunya sendiri tu, macam saya pernah tengok je!

 
At 2:58 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Pak Latip, kalau tak ada angin takkan pokok bergoyang... Di DBP mungkin tak ada, lagipun mana ada penulis DBP pernah dapat puluh2 ribu ringgit hasil royalti novel.

Di tempat tak ada fulus, memang orang kerja tulus....

 
At 6:23 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Puan Ainon, minta maaf ya, tumpang lalu...

Rakan-rakan semua, agaknya salah satu sebab penulis novel sanggup beri buah tangan mahal-mahal tuh sebab jumlah novel yang diterbitkan tuh sikit sangat tiap bulan, jadi ini menyebabkan persaingan sengit. Pintu kecik, orang nak masuk ramai, tolak-menolaklah jadinya, sampai pijak-memijak. Kalau tak dapat giliran terbit tahun ni, kenalah tunggu giliran sampai tahun depan. Lama tuh! Jadi saya cadangkan penerbit terbitkan lebih banyak tiap bulan, kurang sikit masalah rasuah merasuah nih!

 
At 9:38 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

kalau gitu saya pun nak bagi hadiah pada editor saya. apa salahnya kalau saya agihkan pada editor saya janji novel saya laris dapat royalti sampai beratus ribu.

 
At 9:48 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Jika hendak dibahaskan tentang perkara ini memang tiada penghujungnya.Disebabkan amalan ini memberi kesan yang buruklah maka Allah telah mengharamkan amalan memberi sesuatu semata-mata untuk mendapatkan imbalan.Disebabkan itulah sesuatu kerja yang dipertanggungjawabkan kepada kita merupakan satu amanah!Apabila ianya dinamakan amanah maka ia perlu dilakukan dengan tulus dan wajib dilaksanakan dengan sempurna tanpa mengharapkan balasan.Semuanya berbalik kepada 'tepuk dada tanya iman' jika tanya 'selera' maka buruklah akibatnya...

 
At 7:31 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Saya nak tanya

Apakah Islam melarang kita memberi hadiah atau bantuan kepada orang yang pernah menolong kita?.

Kerana sikap itulah selama ini rakyat palestin bergantung hidup dari Yahudi, Amerika dan Eropah. Bila mereka hentikan bantuan barulah keadaan jadi kelam kabut.

Kenapa penerbit hanya salahkan penulis berbaik dengan editornya sahaja?.

Tidak salahkah bila penerbit berbaik dengan pihak tertentu supaya bukunya boleh dijual ke tempat tersebut?.

Tidak salahkah jika penerbit berbaik dengan orang yang berpengaruh supaya bukunya dibeli untuk perpustakaan dan sekolah2.

 
At 7:49 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Saya fikir isu "Apakah Islam melarang kita memberi hadiah atau bantuan kepada orang yang pernah menolong kita?" kena tanya ustaz yang tahu ayat-ayat Quran dan Sunnah Rasulullah SAW tentang jenis2 hadiah yang halal dan haram diberikan dan diterima.

Tentang "hadiah" yang haram, memang sudah jelas baik yang memberi mahupun yang menerima kedua-duanya (penulis dan editor) akan dicampakkan ke dalam api neraka.

Na'uzubillah....

 
At 12:44 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Kepada En. Alifin, soal gaji kecil bukan punca rasuah. Orang gaji besar pun banyak terima rasuah.

Soalnya, editor yang rasuah itu berani buat sebab dia rasa terselamat daripada ditangkap dan dihukum. Apa sebab dia rasa selamat?

1. Si editor nampak bos sendiri pun terima hadiah. (Ikan busuk dari kepalanya dulu).
2. Dia tengok kawan-kawan sejawatan yang lain pun terima hadiah, tak ada yang kena hukum.
3. Sebelumnya dia sudah pernah terima hadiah2 kecil, tak kena hukum pun, lama-lama dia rasa selamat terima hadiah yang lebih besar.
4. Si editor nampak masyarakat sekeliling pun banyak terima rasuah, tak ada yang ditangkap dan dihukum. Polis rasuah, JPJ rasuah, kastam rasuah, imigresen rasuah, jabatan tanah rasuah, JKR rasuah, RTM rasuah, TV3 rasuah.... Ada pulak yang makin naik pangkat atau kekal dalam jawatan (kabinet).

Bila ramai dalam organisasi tu terima hadiah, si editor akan terfikir, "kalau aku tak ambik, aku rugi".

Editor yang suka terima hadiah pula akan galakkan editor2 lain ambik hadiah juga. Sebabnya begini - kalau nak dikenakan hukuman, majikan kenalah buang semua orang! Tutuplah syarikat. Jadi dia selamat, jadi semua selamat! Yang tak selamat adalah syarikat.

Tapi faktor utama adalah Ketua. Kalau ketua betul2 bersih, orang bawah takut nak terima buah tangan.

 
At 3:46 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Puan, sekali lagi tumpang lalu...

Saya setuju dengan apa yang ditulis oleh Ustaz Pondok. Ikan busuk dari kepalanya dulu. Itu sebab kalau beli ikan, jangan tengok ekor, tengok bahagian kepalanya, tengok matanya, tengok ingsangnya...

Jangan nak pecat editor sahaja, siasat dulu apa sebab editor2 tu berani terima hadiah dari penulis.

Pernahkah ketua editor warning anak2 buahnya, mereka akan dipecat 24 jam jika menerima buah tangan dari penulis?

Pernahkah ketua editor secara terbuka warning penulis2-nya, iaitu sesiapa penulis yang diketahui memberi hadiah kepada editornya, karyanya tidak akan diterbitkan lagi sampai bila-bila?

 
At 1:28 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Puan, izinkan saya bertanya kepada semua...

Adakah ini bermakna penulis dan editor tidak boleh menjalin persahabatan yg tulus ikhlas? [kerana dalam konteks persahabatan, kita tentu sekali ingin memberi hadiah bila sahabat kita menyambut hari lahir, pindah rumah dsbnya...].

Sebagai manusia, kita tidak dapat mengagak niat mahupun menilai ketulusan seseorang, bukan?

 
At 7:20 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Puan Ainon, saya pun nak tumpang lalu sebab saya sangat teruja oleh perbincangan ini....

Cik Anggerik, isu hadiah ni adalah isu etika bisnes. Apa hadiah yang diberi, kepada siapa hadiah diberi, bila hadiah itu diberi, di mana hadiah diberi, nilai hadiah yang diberi, siapa yang memberi... faktor2 itu dapat membayangkan motif pemberian hadiah itu.

Apa yang berlaku sebelum hadiah diberi, dan apa yang berlaku selepas hadiah diberi, adalah bukti bagaimana hadiah itu berfungsi.

 
At 8:57 AM, Blogger Latiptalib Berkata ...

kesimpulan dari perbincangan yang panjang ini ialah penulis boleh mewujudkan hubungan baik dengan editornya tetapi dilarang memberi rasuah.

 
At 9:09 AM, Blogger Unknown Berkata ...

beza hadiah dgn rasuah...

hadiah di atas meja
rasuah di bawah meja.

tapi, kalau rasuah sudah membudaya dalam masyarakat.. di atas meja pun orang tak peduli...

 
At 12:05 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Terima kasih, Cik Siti Wan Kembang. Tidak sedar pula begitu banyak implikasi hanya dari tindakan 'memberi hadiah'... Semoga perbincangan ini berjaya 'mencubit' paha-paha editor yg sanggup meminta-minta dari penulis...
Dan kepada penulis yg mendapat royalti yg banyak, sesekali belanjalah SEMUA kakitangan syarikat penerbitan anda, termasuk salespersons dan jangan lupa kepada mereka yg bekerja di bahagian setor...
Kesimpulannya, memang topik ini berjaya membuka banyak minda yg selama ini 'innocent' dan 'naive'...

 
At 9:35 PM, Blogger Unknown Berkata ...

Saya setuju dengan Pak Latip. Hubungan baik antara penulis dan editor mesti dijaga tetapi RASUAH dilarang sama sekali. Penulis dan editor juga berhak untuk menjalinkan persahabatan sesama sendiri. Ada juga hubungan antara editor dan penulis yang sampai ke tahap menjadi kaunselor sesama sendiri (hal berkaitan kerja mahupun peribadi) tetapi masih profesional apabila bekerja (bergaduh tetap bergaduh juga. Diharapkan budaya ini tidak akan terus berakar umbi sehingga merosakkan...

 
At 3:35 PM, Blogger Najwa Aiman Berkata ...

penulis juga yang terpaksa memberi nampaknya manakala editor (kakitangan syarikat penerbitan) menerima.

 
At 9:33 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Peminat Buku PTS,
Saya ingin menjawab komen anda. Tuduhan anda itu tidak berasas. Sudah diketahui ramai, semua mentee Sifu PTS akan disaring dahulu sinopsis dan karya mereka oleh Sifu. Yang mana tidak bagus akan diminta diperbaiki. sifu PTS akan mengikuti dan menilai perkembangan dan kemajuan mentee2nya. Selagi naskah itu tidak bagus, selagi itulah ia tidak akan diterbitkan. Apabila sesebuah naskhah itu siap edit oleh editor, ia akan disemak oleh editor kanan pula. Jadi kecenderungan isu rasuah tidak mungkin timbul di PTS (mudah-mudahan). Semua karya di PTS ditulis mengikut acuan yang diberi oleh Sifu. Kalau tak ikut acuan, awal2 lagi sudah ditendang oleh Sifu sendiri. Seperkara lagi, Sifu sndiri yang melatih semua mentee. Adalah tidak sopan dan sangat tidak mengenang budi bagi penulis yang cuba2 merasuah editor mereka. Saya percaya, kalau mereka cuba merasuah sekalipun, editor di PTS akan tetap mencantas perkara2 yang patut dicantas. Kalau ada pun yang ingin membelanja editor (semangkuk cendol), ia adalah disebabkan oleh sikap penulis yang senang untuk berkongsi sedikit rezeki yang mereka peroleh tanpa sebarang niat.

 
At 12:19 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Saudara/i Orenmasak,

... kalau benar dan berbukti perkara rasuah editor-penulis ini, minta Puan Ainon BERITAHU siapa nama yang terlibat.

Kalau tidak, prasangka tanpa dapat ditepis akan merebak sehingga membayangi semua penulis, termasuk kepada editor-penulis PTS sendiri.

Bukan apa, pembaca yang mempunyai keupayaan menganalisis yang rendah akan beranggapan jawapan saudara/i Orenmasak hanyalah untuk mengangkat-angkat imej PTS semata-mata.

 
At 1:34 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Bukankah menghebahkan nama individu yang terlibat itu akan mengaibkan dan perkara ini akan menjadi lebih panjang. Penrbit yang terbabit juga akan aib sama. Implikasinya kepada siapa? Kita di sini bukannya hendak mengumpat. Sekadar hendak memberikan pendapat dan sama-sama berfikir. Apa yang saya nyatakan adalah sesuatu yang saya lihat dan saya alami sendiri. Bukannya hendak mengangkat-angkat pihak PTS. Kalau ada sesiapa yang ragu, bolehlah dtg ke bengkel PTS. PERCUMA sahaja. Kemudian barulah boleh buat penilaian. Apa faedahnya saya mengangkat PTS? Kalau buku saya tak bagus, mereka tetap tolak. Saya bukannya nak bodek dan saya tak pandai nak bodek.

 
At 2:26 PM, Blogger Latiptalib Berkata ...

saya telah menghantar 3 manuskrip novel kepada PTS dan telah diluluskan untuk diterbitkan pada tahun ini. InsyaAllah.

dari pengalaman saya sendiri tidak pernah editor PTS minta hadiah sebelum dan setelah manuskrip itu diluluskan.

 
At 5:24 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Tuan rumah, tumpang lalu...

Saya tak boleh nak cakap sebagai wakil penulis2 PTS yang lain, sebab saya tak tahu apa pengalaman mereka dengan editor PTS. Bagi diri saya sendiri, saya dah 6 tahun berturut2 kenyang makan duit royalti dari PTS, alhamdulillah saya dah dapat beli kereta baru yang ada std, tapi tidak pernah sekali pun editor saya kenen-kenen nak minta belanja makan sedap2 di hotel, apatah lagi minta beg tangan jenama Itali. Editor saya tu, saya ajak minum teh-o di kantin tempat kerja saya pun dia menolak, sibuk saja dengan appoinment dengan penulis lain yang nak dikejarnya!

 
At 5:42 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Puan Sifu Ainon, bila ada kursus saya tengok puan suka makan ABC dalam Giant dengan mentee2 puan yang datang kursus. Sekali tu saya pun berpeluang puan ajak makan ABC, tapi puan yang belanja semua mentee yang duduk semeja dengan puan. Itu puan rasuah kami ker supaya tak lari kepada penerbit lain? Hehehe! (Jangan marah ye puan.... nanti kena jual!)

 
At 8:50 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Hai Jambu.... takkanlah Sifu belanja mentee beliau sendiri makan ABC tu dikira rasuah!

Aku dah 3 kali lepas kursus Sifu ajak minum teh tarik di kedai mamak hujung jalan tu dengan mentee2 lain, takkan itu pun rasuah.

Apa sebab Sifu tak boleh belanja kita makan ABC atau teh tarik? (sambil garu2 kepala)

 
At 9:12 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Kepada Sdr/i anonymous, kalau nak tahu sangat editor yang rasuah tu, saya pon boleh bagi tahu. Betul ke awak nak tau? Awak yakin ke nama yang saya tulis tu nanti bukan nama awok sendiri?

 
At 11:45 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Ulatbulu,
Saya yakin itu bukan nama saya kerana saya bukan editor dan juga bukan penulis. Saya juga bukan orang yang bekerja dalam dunia penerbitan.

Saya hanya seorang pelayar blog, yang sejak sekian lama membaca tulisan blog Puan Ainon.

Silakan, ulat bulu.

 
At 2:52 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Apa apa pun editor PTS tertakluk kepada pengurusnya. Bukan editor yang pandai-pandai buat keputusan sendiri. Ia bergantung kepada perancangan judul dan kategori tahunannya. Setakat ini editor-editor PTS sangat gemar memberi tip dan ilmu kepada penulis-penulis. Malah kalau ada masalah dengan penulis dari segi manuskrip pun, mereka akan memberi cadangan dengan lembut dan berhikmah.

 
At 8:53 PM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Betul kata En.Tuah, editor saya banyak mengajar saya tentang teknik menulis buku. Dia orang ikut Sifu Ainon yang suka mengajar teknik2 menulis yang mudah. (Puan Sifu, ini bukan jek, tapi memang betul. Cuma PTS saja buat bengkel free untuk penulis.)

 

Post a Comment

<< Home