Friday, November 24, 2006

Bagaimana Menjual Buku ke Perpustakaan Negara

Bagi saudara yang hendak menjadi penerbit ataupun pengedar buku, saudara mungkin belum tahu bagaimana caranya saudara dapat membekalkan buku-buku saudara ke perpustakaan desa di seluruh negara.

Termasuk di bawah senarai Perpustakaan Desa adalah semua perpustakaan yang berada di luar bandar yang ditadbirkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat KEMAS, kerajaan negeri dan jabatan-jabatan kerajaan.

Sehingga saat ini jumlah PD yang sudah beroperasi adalah 800 buah. Pada 2007, 200 buah lagi dijangka akan siap dibina dan beroperasi, menjadikan jumlahnya 1000 buah.

Semua pembelian untuk perpustakaan desa dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Jadi saudara perlu mendaftar sebagai kontraktor kerajaan sebelum layak menjadi pembekal kepada PNM.

Langkah pertama, saudara mesti mendaftarkan syarikat sendirian berhad yang dengan jelas adalah sebuah syarikat berkenaan bisnes buku.

Langkah kedua, saudara mendaftarkan syarikat saudara itu sebagai kontraktor kerajaan. Ada sijilnya.

Langkah ketiga, saudara mendaftarkan syarikat saudara itu sebagai bertaraf syarikat Bumiputera. Ada sijilnya.

Ada Persatuan Kontraktor Buku Bumiputera (PKBM) dan saudara sebaiknya menjadi ahli persatuan ini.

Semua judul yang dibeli untuk perpustakaan desa dipilih oleh panel penilai PNM. Buku-buku saudara perlu memenuhi kriteria isi kandungan dan ciri-ciri fizikal yang ditetapkan oleh PNM.

Setiap tahun PNM memilih banyak judul PTS untuk PD dan kontraktor-kontraktor yang menang tender PNM membeli judul-judul PTS itu daripada PTS secara langsung ataupun daripada pengedar-pengedar PTS.

Walaupun PTS adalah sebuah penerbit buku yang mempunyai sijil-sijil kementerian kewangan, tetapi PTS tidak pernah masuk tender sebagai kontraktor kepada kerajaan. Ini adalah dasar perniagaan PTS.

Banyak pengedar PTS adalah kontraktor kerajaan. Biarlah mereka yang masuk tender. Kita cari makan sama-sama, biarlah kita makan pun bersama-sama. Kontraktor jual buku kepada PNM. PTS jual buku kepada kontraktor.

Kalau PTS ikut masuk tender, PTS mampu memberi diskaun sehingga 30% kepada PNM. Pengedar takkan mampu memberi diskaun sebanyak itu sebab mereka sendiri mendapat 30% diskaun dari PTS! Mereka hendak makan apa?

Justeru, apa bezanya kalau PTS masuk tender ataupun tidak? Dari sudut nilai jualan, tidak ada bezanya.

Tetapi ada beza besar, iaitu dari sudut menjaga hubungan baik dan kepercayaan semua pengedar buku-buku PTS. Mereka tahu dan yakin bahawa PTS bukan sebuah penerbit yang tamak.

.

.
.

2 Komen :

At 10:44 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Salamunalaik.
Sifu bagaimana kita dapat 'order' buku PTS untuk perpustakaan sekolah menengah dan rendah?

 
At 10:43 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Salam Sifu...bagaimana seperti saya seorang penulis dan menerbit sendiri buku-buku saya boleh memasarkannya ke perpustakaan di Malaysia. Terima kasih.

 

Post a Comment

<< Home