Wednesday, November 22, 2006

Branding dan Surah Yusuf


Nama saudara dapat dijadikan BRAND. Nama penulis menjadi BRAND apabila orang membeli sesuatu buku itu disebabkan dia menghargai nama pengarangnya.

Brand mempunyai tempoh hayatnya. Brand yang dikenali oleh suatu generasi belum tentu dikenali oleh generasi berikutnya.

Ambil kes ini sebagai contoh: Nama Azizi Hj. Abdullah adalah salah satu nama besar dalam sastera Melayu moden. Bagi generasi SifuPTS, siapa yang tidak kenal nama itu. Beliau banyak menerima anugerah.

Pada suatu masa pengetua sebuah sekolah mengundang beliau memberi ceramah kepada pelajar-pelajar sekolahnya.

Apabila Azizi bertanya kepada pelajar-pelajar yang hadir, siapa kenal karya-karyanya, tidak seorang pun yang kenal. Tidak ada yang pernah mendengar nama 'Azizi Hj. Abdullah' sebagai nama seorang sasterawan. Pengetua sekolah itu kenal nama beliau, tetapi pelajar-pelajar itu tidak kenal.

Kes Azizi Hj. Abdullah bukan kes yang unik. Majoriti nama-nama sasterawan seangkatan dengan Azizi mengalami nasib yang serupa. Pelajar-pelajar sekolah hari ini tidak kenal mereka.

Faktor utama yang menimbulkan situasi ini adalah disebabkan karya-karya mereka tidak ada di dalam perpustakaan sekolah. Inilah yang menyebabkan pelajar-pelajar tidak kenal dan tidak dapat membaca karya-karya mereka.

Walaupun Azizi Hj. Abdullah mempunyai banyak karya, karya-karya beliau tidak lagi diulangcetak dan dipasarkan ke perpustakaan sekolah.

Suatu hari nanti sudara mungkin mengalami nasib seperti sasterawan Azizi Hj. Abdullah. Pada hari ini novel saudara mungkin laku keras, tetapi 10 tahun dari sekarang, pelajar-pelajar sekolah menengah mungkin tidak kenal nama saudara.

Sepuluh tahun dari sekarang, bagaimanakah caranya hendak menjual novel saudara kepada pembeli yang tidak kenal nama saudara? Sedangkan 10 tahun dari sekarang sudah banyak nama-nama kontemporari yang terkenal, yang menguasai pasaran semasa.

Sebagai penulis, saudara perlu memilih penerbit yang buku-bukunya mendapat kepercayaan guru-guru, dan dengan demikian buku-buku penerbit itu banyak dijual ke perpustakaan sekolah, supaya karya saudara dibaca oleh pelajar.

Lebih awal kanak-kanak membaca buku-buku saudara, itu adalah lebih baik.

Pelajar yang sudah kenal nama saudara sejak di bangku sekolah menengah atas, apabila mereka sudah bekerja, mereka akan membeli karya-karya terbaru saudara. Nama saudara sudah menjadi BRAND dalam memorinya.

Apabila mereka mempunyai anak kecil yang sudah pandai membaca, mereka akan membelikan buku-buku yang pernah dibacanya sewaktu mereka masih di sekolah rendah! Nama saudara sudah menjadi BRAND dalam memorinya.

Apabila dia mempunyai cucu, dia akan membelikan buku saudara sebagai hadiah untuk bacaan cucu-cucunya. Pendeknya, seorang nenek yang membaca buku "Cinderela" sewaktu dia kecil, dia akan membelikan buku cerita itu untuk anaknya, dan kemudian untuk cucunya.

Tulislah buku-buku evergreen bagi pasaran perpustakaan sekolah rendah dan menengah. Dengan cara ini saudara sudah mencipta nama saudara sebagai BRAND dalam otak peminat saudara sejak mereka masih kecil lagi.

Sejak di sekolah rendah mereka sudah membaca buku cerita karangan saudara. Apabila naik ke sekolah menengah, buku saudara pun ada dalam perpustakaan dan mereka membaca karya saudara.

Apabila mereka keluar sekolah dan memasuki alam pekerjaan, apabila mereka pergi ke kedai buku, percayalah mereka akan beli karya-karya saudara yang ada dalam kedai buku. Tingkah laku ini disebut dengan istilah 'brand loyalti'.

Ini adalah strategi kerja jangka masa panjang. Ini adalah vision yang mendorong saudara menulis buku-buku cerita evergreen, yang dapat diulang cetak setiap tahun, selama berpuluh-puluh tahun.

Banyak buku hayat jualannya amat singkat. Ia cuma dapat dijual semusim. Habis musim ia menjadi 'buku lama'. Selepas 10 tahun ia menjadi 'buku buruk'. Buku-buku seperti itu adalah buku yang tidak bertaraf harta intelek.

Buku-buku yang evergreen akan dapat dijual kepada beberapa generasi. Buku jenis inilah yang disebut harta intelek.

Sebagai harta buku-buku itu membawa pulangan yang berpanjangan, malah royaltinya dapat diwariskan kepada anak cucu. Justeru, jangan terpilih penerbit yang membeli ataupun 'merampas' hakcipta karya saudara.

Strategi kerja bagaimana menghasilkan karya untuk pasaran dewasa dan remaja sekaligus dan serentak sudah diterangkan kepada mentee-mentee Sifu yang mengikuti bengkel jibunsyi.

(a) Ikut model kisah Nabi Yusuf, yang plot ceritanya bermula sejak beliau 8 tahun.

(b) Tulis novel jibunsyi saudara menggunakan KJ Method.

(c) Tiru gaya bahasa tinggi seperti yang digunakan dalam Surah Yusuf, sebab Bahasa Tinggi itu mempunyai hayat evergreen.

Jangan menulis dengan mengikuti prinsip-prinsip, teknik serta gaya bahasa ciptaan akal manusia semata-mata, dan menolak model yang Allah sudah tunjukkan dalam Quran.

Allah lebih mengetahui strategi dan cara kerja yang menghasilkan karya hasanah yang evergreen. Kita ikut sahaja strategi dan teknik-teknik ciptaan Allah itu.
.

.

1 Komen :

At 9:57 AM, Blogger Unknown Berkata ...

Penulis yang sudah jadi BRAND pun kena selalu buat REBRANDING. Jangka hayat sesebuah produk itu mungkin hanya 5 hingga 10 tahun. Kalau tidak REBRANDING, sudah tentu khlayak akan lupa dan mencari BRAND yang baru...

 

Post a Comment

<< Home