Teknik Berfalsafah dalam Karya
Ada pengarang Malaysia berasa tersinggung lalu marah-marah apabila seorang penulis Indonesia mengatakan karya Malaysia tidak mengandung falsafah.
Isu apakah komen penulis Indonesia itu benar bagi SEMUA karya penulis Malaysia, ataupun ia benar bagi mana-mana karya yang pernah dibaca oleh penulis Indonesia itu sahaja, isu itu bukan persoalan penting.
Yang penting adalah menerima kenyataan bahawa karya sastera mesti mencipta kesan ke atas daya fikir pembacanya bahawa karya itu mengandung falsafah dan dia memahami mesej falsafah si pengarang.
Kesan falsafah itu mesti terang dan jelas, sambil membaca, pembaca sudah nampak apa falsafah yang terkandung dalam karya itu.
Bukan mesej falsafah yang perlu dicari-cari, digali-gali, diteka-teka apa barangkali falsafah yang cuba disampaikan oleh si pengarang. Bukan kesan samar-samar, ataupun yang cuma diada-adakan oleh pengkritik karya itu.
Bukan juga falsafah yang memerlukan IQ tinggi disertai oleh penguasaan ilmu-ilmu bantu yang tinggi-tinggi bagi mengesan dan memahami mesej falsafah itu, bukan yang perlu difikir-fikirkan dengan mendalam, perlu direnungkan, dimenungkan.
Bukan, bukan falsafah yang seperti itu. Jika begini persepsi kita, karya seperti itu tidak banyak gunanya bagi tujuan memandaikan pembaca, sedangkan adalah fungsi asas sastera memberi pencerahan, yakni membantu pembaca menjadi lebih bijaksana selesai membacanya.
Bukan juga mesej falsafah yang hanya dapat dimasukkan oleh pengarang selepas banyak membaca buku-buku falsafah Barat mahupun kitab-kitab tulisan ulamak-ulamak agung. Jika begini persepsi kita, maka tidak banyak penulis yang berani memasukkan unsur falsafah ke dalam karyanya.
Memang ada karya sastera yang bertaraf karya falsafah, yang ditulis oleh pengarang yang menguasai ilmu-ilmu falsafah, dan hanya dapat difahami mesej falsafahnya oleh pembaca yang memiliki banyak ilmu-ilmu bantu yang tinggi dan kompleks. Barangkali kategori inilah yang dimaksudkan oleh si penulis Indonesia itu.
Dari sudut pandang Islam, setiap penulis dituntut memasukkan mesej falsafah ajaran Islam ke dalam karyanya, tanpa kekecualian apakah karya itu cerita kanak-kanak, novel remaja, novel cinta ataupun fiksyen sains, dan tanpa kekecualian apakah individu yang membaca karyanya itu kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.
Justeru Islam tidak membataskan tugas berfalsafah itu kepada sasterawan yang menguasai ilmu-ilmu falsafah Islam, Barat dan Timur sahaja, ataupun kepada mereka yang menulis novel-novel bertaraf ’sastera’ sahaja. Tuntutan Islam ini tidak membedakan penulis kepada kategori sasterawan dan bukan sasterawan, suatu pembedaan ciptaan pakar-pakar teori sastera aliran konvensional.
Justeru, dari sudut pandang Islam, penulis-penulis novel remaja, novel popular, novel cinta, novel sejarah, malah novel thriller sekalipun, dituntut memasukkan mesej falsafah dalam karyanya.
Apabila Islam menuntut semua penulis berfalsafah, maka timbul 2 isu:
(1) Isu pertama, apakah jenis-jenis falsafah yang mudah dimasukkan ke dalam karya, sehingga ia membolehkan penulis yang belum membaca buku-buku falsafah pun dapat memasukkan unsur falsafah dalam karyanya.
(2) Isu kedua adalah, apakah ada teknik-teknik yang mudah bagi memasukkan unsur falsafah ke dalam karya, sehingga penulis-penulis yang baru belajar menulis pun sudah dapat mempelajari dan menggunakan teknik-teknik itu.
………………….
Pesan bagi mentee-mentee SifuPTS:
Memasukkan kandungan falsafah dalam novel jibunsyi adalah mudah. Ikut teknik yang digunakan dalam surah Yusuf. Teknik itu adalah dengan menggunakan dialog yang mengandung nilai. Maksudnya, mesej falsafah itu disampaikan dalam dialog watak-watak, bukan dalam naratif.
Teknik dialog mengandung nilai falsafah inilah yang digunakan dalam sastera komik Amerika. Inilah yang membolehkan, jangan dikatakan karya sastera, malah strip komik Amerika sekalipun, mengandung unsur falsafah. Justeru, si kucing Garfield itu pun seringkali mengucapkan dialog-dialog yang mengandung mesej falsafah!
(Teknik falsafah dalam dialog inilah yang membolehkan Garfiled diminati oleh semua kategori manusia, di semua pelosok dunia - dan tidak terbatas pada peminat kucing sahaja.)
Berdasarkan surah Yusuf, watak utama mestilah seorang yang mengucapkan dialog yang mengandung falsafah ajaran Islam. Prinsip inilah yang menyebabkan dalam teori sastera Islami (aliran surah Yusuf), watak utama tidak boleh merupakan individu yang tidak baik, yang tidak insaf sampai akhir cerita, sebab jika begitu, kita memberikan kemenangan moral kepada kemungkaran.
Ada dua jenis dialog falsafah dalam surah Yusuf:
(1) Dialog yang dengan jelas mengandungi mesej falsafah Islam.
Sebagai contoh, ayat 90: “Barang siapa yang hatinya sabar, Allah tidak menyia-nyiakan perbuatan baiknya.”
(2) Dialog yang tidak secara jelas menyatakan ajaran Islam.
Sebagai contoh ayat 35: Dalam episod sewaktu isteri al-Aziz mengancam Nabi Yusuf, sekiranya dia tetap enggan membalas cintanya, maka dia akan pastikan supaya Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara.
Dijawab oleh Nabi Yusuf dengan berkata lebih kurang beginilah maksudnya, “…saya lebih cintakan penjara daripada cinta yang puan tawarkan kepada saya…”
Sifu sedang menyambung kajian ke atas surah Yusuf….
Jangan lupa! Besok, Sabtu 25 Nov, datang kelas tambahan!
1 Komen :
Salam,
Puan, saya dapati tulisan ini sangat bermanfaat apatah lagi kalau dilihat dalam konteks sekarang. Tidak banyak karya yang menyisipkan falsafah. Semuanya mementingkan keuntungan. Saya ada menulis tentang senario ini dalam blog saya.
Post a Comment
<< Home