Tuesday, August 02, 2005

Memilih Judul Buku

Ada penulis sanggup merosakkan hubungan baik dengan editor semata-mata kerana tidak setuju judul buku mereka diubah.

Merosakkan hubungan baik dengan editor adalah kesilapan serius disebabkan faktor-faktor berikut:

1. Editor yang kecewa dengan sikap saudara akan bercakap tentang perangai saudara kepada rakan-rakan sejawatnya. Ingat! Kakitangan syarikat lebih setia kepada rakan sejawat daripada penulis. Apabila staf di bahagian sales tahu saudara bergaduh dengan editor, mereka hilang minat hendak bersungguh-sungguh mempromosi dan menjual buku saudara. Begitu juga halnya dengan artis-artis di bahagian grafik. Itulah sebabnya penulis kesayangan editor juga popular di kalangan staf bahagian sales dan bahagian grafik. Hasilnya buku-buku saudara diterbitkan dengan wajah yang lebih cantik dan jualannya lebih laju.

2. Saudara tentu sedih apabila judul saudara tidak diterima. Saudara sangat suka judul itu sebab ia adalah ciptaan saudara. Tetapi syarikat penerbitan lebih tahu judul apa yang laku.

3. Sebelum sesuatu judul itu dipilih, judul itu akan dikemukakan dahulu kepada bahagian pemasaran disebabkan merekalah yang dapat memberi maklumbalas kepada editor berkenaan kesesuaian judul itu. Staf sales hari-hari pergi ke kedai-kedai buku oleh itu mereka tahu judul-judul buku penerbit lain yang sudah ada dalam pasaran dan menjadi pesaing kepada buku saudara. Mereka akan memberikan maklumat itu kepada editor supaya jangan menggunakan judul yang serupa dengan buku terbitan syarikat lain.

4. Editor saudara adalah manusia biasa. Mereka bekerja dalam keadaan yang 'stressfull', dan mereka mempunyai perasaan. Kalau saudara bergaduh dengan mereka, mereka boleh buat macam-macam yang merugikan saudara, umpamanya mereka boleh menolak buku saudara, ataupun melambatkan proses penerbitan buku saudara dan mendahulukan buku penulis lain.

5. Jumlah penerbit buku yang kredibel adalah terbatas. Mereka berkawan-kawan sesama mereka, menjadi ahli persatuan penerbit, dan mereka selalu bertukar-tukar maklumat berkenaan perangai penulis-penulis yang bermasalah. Kalau hari ini saudara ada masalah dengan satu penerbit, dalam masa sekejap sahaja maklumat itu akan diketahui oleh penerbit-penerbit lain.

6. Bagi sesetengah penerbit, mereka sudah memasukkan dalam klausa perjanjian penerbitan bahawa hak menentukan judul adalah hak penerbit.

Jaga hubungan baik dengan editor buku saudara. Mereka dipertanggungjawabkan dalam menentukan judul yang tepat bagi buku-buku yang mereka jaga. Jika buku itu laku, mereka menerima pujian, jika tidak mereka dipersoal dalam mesyuarat.