Nama Samaran
Bagi penulis yang baru cuba-cuba hendak menulis, salah satu perkara yang melintas dalam fikiran mereka adalah sama ada mahu menggunakan nama benar ataupun nama samaran.
Setiap penerbit mempunyai amalan masing-masing dalam isu nama pengarang. Ada penerbit yang mengambil hak menciptakan nama samaran bagi pengarang-pengarang mereka. Ertinya penulis tidak diberikan hak memutuskan nama yang digunakan pada buku mereka.
Jika saudara masih muda, lazimnya nama saudara tidak ada masalah ejaan. Tetapi bagi penulis tua yang menulis buku-buku untuk remaja dan orang muda, nama mereka mungkin bunyinya tua, jadi pembaca remaja tahu si penulis itu orang tua! Contoh nama individu yang lahir pada zaman pramerdeka adalah JAAPAR, PATIMAH ataupun LATIPAH. Sesetengah nama dieja dengan cara yang menampakkan suku keturunan ataupun asal negeri kelahiran seperti NGASRI, ABOO BAKAR, NINGGAL ataupun SETAPA.
Nama pengarang yang tertulis pada kulit buku adalah salah satu daripada komponen yang mencipta persepsi positif mahupun negatif dalam minda bakal pembeli buku saudara. Tidak hairanlah jika penerbit Alaf 21 menggunakan nama-nama remaja moden pada kulit novel-novel cinta remajanya bagi menggantikan nama-nama sebenar pengarang.
Jika saudara menulis buku fiksyen sains tetapi nama saudara adalah Muhammad Romji bin Lebai Hasan, dahi bakal pembeli mungkin berkerut. Jika saudara mengubah sedikit nama saudara menjadi Ramzi Hassan, besar kemungkinan kerut itu tidak timbul.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home