Monday, August 22, 2005

Siapa Aina Emir?

Siapa kata lelaki tidak membaca novel cinta? Novel-novel cinta yang ditulis oleh lelaki banyak dibaca oleh lelaki, malah novel-novel itu dianggap bernilai sastera.

Novel-novel bertemakan cinta remaja seperti “Siti Nurbaya” oleh Marah Rusli, “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” dan “Di Bawah Lindungan Kaabah” karya Hamka, serta novel “Salah Asuhan” oleh Abdul Moeis, masih dibaca sehingga hari ini.

Tidak banyak pengarang novel cinta perempuan yang karyanya dibaca oleh ramai remaja lelaki. Salah seorang daripada mereka adalah Aina Emir.

Aina Emir adalah bekas pegawai kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Suaminya seorang konsultan dalam bidang kejuruteraan awam. Tiga orang anak-anak lelakinya juga dalam bidang kejuruteraan. Beliau pemegang ijazah sarjana dalam bidang pembangunan tenaga manusia (HRD).

Aina Emir adalah nama penanya bagi novel-novel cintanya yang diterbitkan dengan Alaf21. Beliau sudah menerbitkan 3 buah novel, setiap satu dicetak 60 ribu naskhah. Novel keempatnya sudah siap dan menunggu diterbitkan sahaja. Walau bagaimanapun beliau belum memutuskan siapa yang akan menerbitkannya.

Walaupun karya beliau dikategorikan sebagai novel cinta remaja, tetapi menurut beliau, novel-novelnya mempunyai dua ciri istimewa. Pertama beliau menggunakan setting dalam dan luar negara yang sebenar, iaitu tempat-tempat yang beliau pernah lawati di merata tempat di dunia. Kedua, beliau tidak menggambarkan watak-watak lelaki dengan gambaran negatif.

“Saya tidak menulis kerana desakan kewangan. Wang saya cukup,” katanya. “Saya menulis bagi menyampaikan nilai-nilai murni kepada pembaca saya.” Itulah Aina Emir.

1 Komen :

At 6:54 PM, Blogger KarnaDya Berkata ...

www.karnadya.com.my

Novel pertama yang akan diterbitkan oleh KarnaDya berjudul ‘Aura Cinta'. Novel ini adalah hasil karya Aina Emir. Ini adalah merupakan novel keempat beliau.

Dalam novel ini, buat pertama kalinya, Aina Emir akan menyerlahkan watak hero. Aura Cinta memaparkan kisah seorang lelaki Melayu yang bernama Azraai, yang terlibat dalam pembikinan filem dokumentari. Beliau adalah rakan kongsi kepada Khairul, anak seorang ahli perniagaan yang berjaya.

• Sinopsis Aura Cinta

Aura Cinta akan menemukan anda kepada Azraai, lelaki Melayu bertubuh tegap lagi tinggi orangnya. Perjalanan hidupnya mula goyah bila pertama kali bersua dengan sesuatu yang dianggap aneh lagi pelik. Mengapa tiba-tiba saja dirinya teruja?

Pertemuannya dengan Aisya Hanan dan Cikgu Sally membuatkan jiwanya tercabar. Namun, dalam kekeliruannya, dia tidak dapat menepis kasih sayang Nurbaiti, gadis cantik lagi bijak, yang bukan hanya merupakan pilihan ibu, tapi gadis itu juga sudah lama taat menantinya. Malah dia mempunyai pakej lengkap sebagai calon isteri.

Novel ini juga akan menemukan anda dengan watak-watak menarik seperti Khairul, Johari, Anjang Sadang, Ijah, Serhan Aydin dan Irfan.

Anda akan dibawa mengembara ke alam realiti yang penuh fantasi lagi ilusi. Pengembaraan ke perkampungan Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang, semestinya indah, penuh dengan keajaiban hutan tropika yang banyak misteri dan teka-teki. Panorama yang menarik dan adventurous akan membuat anda mahu terus berada dalam novel ini.

Pembaca juga akan dibawa ke Lembah Kelang dan negara Belgium . Sama-samalah bertemu dengan karakter-karakter yang semestinya akan membuat anda berkhayal sambil menimba ilmu yang padat dibekalkan penulis.

www.karnadya.com.my

 

Post a Comment

<< Home