Saturday, September 10, 2005

Mempromosi Buku ke Kedai Buku

Apabila saudara menjadi penerbit, dan saudara hendak mengedarkan sendiri buku-buku saudara, maka saudara perlu mempromosi buku saudara kepada pihak pengurusan kedai-kedai buku. Saudara perlu meyakinkan pengurus kedai buku bahawa buku yang saudara terbitkan itu laku dijual kepada pelanggan yang masuk ke kedainya.

Buku-buku yang dipamerkan di dalam kedai-kedai buku terdiri daripada 2 jenis:

  1. Buku-buku yang tidak dibeli oleh kedai buku itu, sebaliknya diletakkan oleh penerbit sahaja. Mana yang tidak terjual dalam tempoh 3 bulan, buku-buku itu dikembalikan kepada penerbit sebagai 'buku return'. Buku-buku jenis ini lazimnya adalah buku-buku terbitan para penerbit tempatan.

  2. Buku-buku yang dibeli oleh kedai buku, lazimnya ia terdiri daripada buku-buku yang diimport dari luar negara sahaja. Kalau buku itu tidak laku, buku-buku itu tidak boleh dikembalikan kepada penerbit.

Apabila saudara menerbitkan buku, saudara bukan 'menjual' buku saudara kepada kedai buku. Saudara cuma 'meletakkan' sahaja buku saudara dalam kedai-kedai buku itu.

Kedai-kedai buku belum tentu mahu menerima buku saudara bagi dipamerkan dalam kedai mereka, walaupun mana-mana buku yang tidak laku akan saudara ambil kembali. Kalau saudara bersungguh-sungguh memujuk, barangkali mereka ambil satu, dua ataupun tiga naskhah sahaja, dengan janji nanti jika habis terjual mereka akan 'order lagi'.

Pengurus kedai buku adalah orang yang paling berkuasa memilih buku apa yang mereka mahu 'bawa' dalam kedai mereka. Bagi kedai-kedai buku besar, mereka mempunyai petugas khas yang dipanggil 'purchasing officer' yang memilih buku-buku untuk dipamerkan dalam kedai. Mereka inilah yang saudara mesti yakinkan supaya mahu 'membawa' buku-buku saudara.

Mengapakah kedai buku amat memilih-milih buku yang mereka sanggup 'bawa'?

  1. Kedai buku bukan setor penerbit. Kedai buku menyewa kedai-kedai mereka dan mereka membayar sewa itu daripada hasil jualan buku. Kalau buku saudara tidak laku, ertinya saudara sudah menjadikan kedai mereka tempat saudara menyimpan buku tak laku saudara itu secara percuma!

  2. Ruang pameran dalam kedai buku adalah sangat terhad. Jumlah penerbit pula banyak. Masing-masing penerbit mempunyai banyak buku yang hendak mereka pamerkan, itulah sebabnya mereka tidak cukup ruang bagi melayan semua kehendak penerbit. Jadi kedai buku mesti memilih mana-mana buku yang mereka yakin dapat dijual sahaja. Sebagai penerbit, saudara tentu yakin buku saudara dapat dijual, tetapi pekedai buku belum tentu yakin.

  3. Lokasi kedai buku mempengaruhi jenis-jenis buku yang dapat dijual dalam sesuatu kedai itu. Di kawasan perumahan yang ramai penduduknya terdiri daripada orang Melayu, buku-buku Melayu dapat dijual. Sesetengah kedai buku terletak dalam kawasan penduduk Cina, oleh itu buku-buku Melayu tidak laku di kedai kedai itu. Dalam kawasan kampus, buku-buku akademik yang berkaitan dengan kursus yang ramai pelajarnya belajar di situ adalah lebih laku. Buku-buku bisnes dan pengurusan lebih laku dijual dalam kedai-kedai buku besar dalam kompleks membeli-belah yang besar-besar juga. Jadi, buku yang laku di satu kedai, belum tentu laku di kedai lain. Inilah antara faktor mengapa pengurus kedai buku amat cerewet memilih buku-buku yang hendak mereka 'bawa' dalam kedai mereka.

  4. Imej kedai adalah satu lagi faktor mengapa buku saudara mungkin ditolak oleh kedai buku. Ada kedai buku besar yang mempunyai imej penjual buku profesional sahaja. Mereka tidak mahu membawa buku-buku agama disebabkan pada pendapat mereka kehadiran buku-buku agama dalam kedai mereka akan mencacatkan imej profesional mereka.

Itulah 4 faktor utama mengapa buku saudara belum tentu dipamerkan dalam sesetengah kedai buku.